Najib Bebas 2028, Siap Dapat Diskaun Denda Sebanyak RM160 Juta

TERKINI
February 02, 2024 - 04:20 PM


Beberapa hari yang lalu, terdapat sebuah media tempatan yang melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal dibebaskan setelah mendapat pengampunan. Namun, laporan tersebut kemudiannya ditarik balik.

Terbaru, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan bahawa Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028. 

Bukan itu sahaja, Najib juga dikatakan mendapat pengurangan pembayaran denda dimana 'diskaun' diberikan sebanyak RM160 juta.

Kata kenyataan itu, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda AI-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” kata kenyataan itu.

 

Sumber: X & Kosmo 

Destination: