Pelanggan Tinggal 'Remark' Hina Islam Pada Resit Piza

TERKINI
May 16, 2024 - 03:38 PM


Resit pembelian piza yang memaparkan ucapan menghina agama Islam yang tular semalam merupakan nota pesanan yang ditulis oleh pelanggan secara dalam talian bukannya dibuat oleh premis francais di Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu mengenai kes berkenaan kira-kira pukul 8.46 malam tadi.

“Kita ada menerima laporan mengenai gambar tular yang memaparkan satu resit tertera ucapan menghina agama Islam yang berlaku di Bayan Lepas.

“Hasil siasatan mendapati terdapat satu pesanan yang diterima semalam di aplikasi syarikat rangkaian itu yang mempunyai perkataan menghina di bahagian remark atau nota pesanan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Sejak malam tadi, tular di media sosial mengenai resit dengan kenyataan menyentuh isu 3R di ruangan ‘remark’ oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, beliau telah berjumpa wakil pengurusan di Wilayah Utara dan penyelia cawangan itu semalam berikutan isu terbabit yang tular di media sosial.

”Ramai yang salah faham seperti saya juga pada awalnya yang menyangkakan resit berkenaan dikeluarkan oleh juruwang.

“Sebenarnya resit yang diviralkan itu adalah resit order secara ‘online’ dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahgunakan oleh ‘pemprovokasi’ tersebut,” katanya.

Sumber dan Kredit: Kosmo

Destination: