"Pengemis Moden" - Netizen Kritik Ibu Bapa Yang 'Spam' Kod QR Minta Duit Raya Untuk Anak

TERKINI
April 19, 2024 - 12:14 PM


Bercakap soal Syawal, pasti ramai yang membayangkan aktiviti berkunjung ke rumah saudara atau rakan yang mengadakan rumah terbuka. Bukan itu sahaja, pemberian duit raya juga menjadi tradisi atau kebiasaan ketika meraihkan Syawal.

Bercakap soal pemberian duit raya, kecanggihan teknologi pada hari ini membuatkan duit raya kini tidak hanya diberikan menggunakan sampul sahaja sebaliknya ada juga menggunakan imbasan kod QR yang terus masuk ke akaun bank.

Dengan cara ini, umat Islam di Malaysia boleh memberi dan menerima duit raya meskipun tidak bertentang mata. Namun, kemudahan tersebut telah menimbulkan isu lain di mana ada segelintir ibu bapa yang tanpa segan silu menagih duit raya untuk anak-anak mereka. 

Menerusi sebuah hantaran di Facebook, seorang wanita menyatakan terdapat ibu bapa yang sanggup melakukan ‘spam’ di WhatsApp dengan menghantar imbasan kod QR untuk meminta duit raya anak mereka. 

“Maaflah kalau terasa tapi rasa apa eh spam WhatsApp hantar QR minta duit raya untuk anak? Ada yang spam berterusan setiap hari pula tu.

“Awak kalau pergi beraya rumah orang memang akan minta duit raya dengan tuan rumah ke? Duit raya ni tak perlu minta-minta, orang nak bagi dia akan bagi. Tunjuklah contoh yang baik untuk anak-anak,” katanya. 

Selain itu, wanita itu turut meminta agar budaya meminta-minta ini tidak dinormalisasikan.

“Maaf saya memang suka memberi tapi saya tak suka orang meminta,” katanya. 

Di ruangan komen, wanita itu juga memaklumkan dia sebenarnya tidak berniat untuk memalukan individu berkenaan dan mahu perkara itu sebagai pengajaran buat semua. 

Dalam pada itu di bahagian komen, ramai yang bersetuju dengan teguran yang diberikan wanita itu.

"Dekat group fb bersepah dengan caption 'semoga ada rezeki anak '. Bila kita tegur melenting kata ' tak paksa pun sis siapa nak kongsi rezeki bagi lah kalau tknk takpe '.

"Muka tak tahu malu.

"Pengemis moden.

"Ramai sangat macam ni. Buat cerita sedih, minta duit.," tulis mereka. 

 

Sumber: Facebook

Destination: