"Perodua Gula-Gulakan Je" - Tuan Kereta Kesal Dengan Kenyataan Perodua

TERKINI
January 04, 2024 - 05:53 PM


Pemilik Perodua Bezza, Nagakanni Subramaniam mendakwa terdapat beberapa kesalahan fakta di dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berhubung isu kereta miliknya yang rosak selepas lapan jam diambil dari pusat jualan.

“Saya dimaklumkan Perodua sudah jawab, tapi saya nak betulkan sedikit fakta. Solusi Perodua adalah untuk saya beli kereta kedua dengan cara mengemukakan pinjaman kereta kedua.

“Ada jaminan secara hitam putih tak yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar pinjaman pertama? Tiada. Sudah lebih dua bulan masih belum ada apa-apa maklumat secara terperinci mengenai pembelian balik, tempoh pembelian balik, pembayaran pinjaman dan semua itu,” katanya hari ini.

Nagakanni berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan media yang dikeluarkan Perodua semalam yang memaklumkan bahawa syarikatnya telah menawarkan dua pilihan kepada Nagakanni.

“Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua, enjin rosak kononnya sebab ada benda asing seperti gula, saya tak dapat penggantian kereta baru dan masih kena bayar kereta itu setiap bulan.

 “Kalau betul Perodua kata nak beli kereta saya, silakan. Tapi mana hitam putih itu? Sehingga hari ini saya masih belum ada. Jangan buat kenyataan media hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah saya. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau tular,” ujarnya.

Destination: