Polis Berjaya Tahan Individu Dipercayai Ibu Bapa Kepada 4 Beradik Yang Ditinggalkan Di Pondok

TERKINI
November 29, 2023 - 03:04 PM


Dua individu yang dipercayai ibu bapa kepada kepada empat beradik yang ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah dekat Kampung Gajah, 23 November lepas telah berjaya ditahan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kedua-dua individu itu ditahan dalam tangkapan berasingan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

"Polis menahan lelaki terbabit pada Isnin lepas serta merampas sebuah motosikal Modenas Kriss berwarna biru serta pakaian yang digunakan lelaki itu semasa kejadian.

"Polis juga turut berjaya menahan seorang wanita semalam dan merampas sebuah telefon bimbit. Kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut kes ini," katanya dalam kenyataan.

Hafezul Helmi berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 33 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak berusia 11, 9 tahun, 6 tahun dan bayi 10 bulan ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: