Sempena Cuti Deepavali, Kerajaan 'Belanja' Tol Percuma Sabtu & Ahad Ini

TERKINI
November 10, 2023 - 01:16 PM


Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya sempena perayaan Deepavali bermula 11 November pukul 12.01 tengah malam sehingga 12 November pukul 11.59 malam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alexander, pemilihan tarikh tersebut bertujuan untuk mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

“Sepanjang Deepavali, kami menganggarkan jumlah trafik dalam masa dua hari tersebut sebanyak 11.8 juta kenderaan.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya,” katanya.

Tambah Alexander, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Pengguna lebuh raya boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.

Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Destination: