Sila Bersedia Malaysia Dijangka Berhadapan Hujan Lebat Sehingga Mac 2024

TERKINI
November 07, 2023 - 05:24 PM


Monsun Timur Laut (musim tengkujuh) dijangka bermula pada 11 November iaitu Sabtu in sehingga Mac tahun hadapan, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berkemungkinan Monsun Timur Laut itu membawa empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang tempoh berkenaan.

Beberapa negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak akan berdepan dengan fasa awal iaitu pada November ini hingga Januari depan.

Pada fasa akhir Monsun Timur Laut dijangka berlaku pada Februari hingga Mac 2024. Ia melibatkan kawasan utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan juga Sabah, Labuan serta utara Sarawak akan mengalami kurang hujan.

Keadaan cuaca panas dan kering dijangka bermula pada Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.

Ujarnya, situasi berkenaan berlaku berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun depan.

Orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihan, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan pihaknya.

Sumber: FB METMalaysia