Tiba-Tiba Mengundur, Sebuah Kereta Dirempuh Lori

TERKINI
January 04, 2024 - 11:09 AM


Sebuah video yang menunjukkan sebuah insiden kemalangan membabitkan sebuah lori dan juga kereta Honda City di stesen minyak Petronas Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur telah tular di platform media sosial.

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), pada awalnya kelihatan lori berkenaan berhenti di bahagian pam minyak dipercayai untuk mengisi minyak dan tidak lama kemudian datang kereta berkenaan dari arah belakang dan sedang menunggu laluan selamat untuk menyusur keluar dari stesen minyak tersebut.

Namun secara tiba-tiba lori berkenaan mengundur ke belakang dan kemudian merempuh kereta Honda berwarna putih tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dilapor 10.30 pagi, membabitkan lori jenis Hino dan kereta Honda City.

"Siasatan mendapati pemandu lori berusia 52 tahun memberhentikan kenderaan untuk pengisian bahan api di salah satu pam minyak di stesen berkenaan.

"Semasa meninggalkan lori dan menuju ke kaunter bayaran, secara tiba-tiba lori bergerak secara mengundur, lalu melanggar kereta yang sedang berhenti di persimpangan jalan berhampiran stesen minyak," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Sarifuddin berkata, kemalangan itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua pemandu.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 14(1) LN 165/59 iaitu kesalahan tidak menarik brek tangan dengan kemas.

 

Sumber: Harian Metro & X