Tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz: Rayuan Akhir Ditolak, Lelaki Kekal Dipenjara Selama Perkenan Agong

TERKINI
March 21, 2024 - 02:15 PM


Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan seorang lelaki kekal di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas sabitan kesalahan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.

Mahkamah juga menetapkan supaya seorang lagi lelaki yang berdepan pertuduhan sama, kekal dilepas dan dibebaskan. Kedua-dua lelaki itu yang berusia 16 tahun ketika kejadian, tidak berdepan hukuman mati kerana di bawah umur 18 tahun mengikut peruntukan undang-undang. 

Che Mohd Ruzima berkata, tiada sebab untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mendapati seorang lelaki itu disabitkan kesalahan atas pertuduhan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu adalah selamat dan harus dikekalkan. 

"Mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami (panel hakim) bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan dikemukakan pendakwaan adalah kuat.

"Ia hanya menuding kepada satu arah, iaitu PKK1 (lelaki terbabit yang juga pesalah kanak-kanak satu) memanjat belakang pagar belakang sekolah tahfiz bersama seorang lagi tidak dapat dikenali, untuk memulakan kebakaran sekolah tahfiz sehingga menyebabkan 23 terkorban.

"Dengan itu, rayuan PKK1 ditolak. Memandangkan tiada hujahan dikemukakan pihak pembelaan berhubung hukuman (penjara) dijatuhkan Mahkamah Tinggi, maka hukuman yang dijatuhkan juga dikekalkan," katanya.

Bagi keputusan seorang lagi lelaki kekal dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan sama pula, Che Mohd Ruzima berkata, tiada sebab untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan PKK2 (lelaki berkenaan) daripada semua 23 kesalahan di akhir kes pendakwaan, adalah tepat dari segi fakta dan undang-undang.

"Oleh itu, rayuan pendakwa raya adalah tidak bermerit dan seharusnya ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan," katanya. 

Dalam kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: