Trend Kopi Joss, Peniaga Boleh Didenda RM10,000 Dan Dipenjara - KKM

TERKINI
November 27, 2023 - 01:00 PM


Sekarang ini bila membabitkan perniagaan berkaitan dengan makanan dan minuman, pelbagai cara yang digunakan oleh peniaga dalam mempamerkan keunikan dan kelainan makanan dan minuman yang dijual. 

Keunikan dan perbezaan inilah yang mampu menarik pelanggan untuk membeli dan mencuba produk yang dijual. Hal ini kerana, sebahagian rakyat Malaysia dikatakan menggemari makanan yang viral dan sedang trending.

Antara menu yang pernah menjadi perhatian adalah seperti milo keju (cheese), nasi lemak keju, sambal strawberi dan terbaharu Kopi Joss atau kopi yang dicampur dengan bara arang.

Terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan trend penambahan bara arang dalam minuman kopi pada masa kini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didakwa.

Mana-mana peniaga terutamanya premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dikategorikan sebagai makanan,” jelas KKM

Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran trend meminum kopi yang dimasukkan dengan bara arang di sebuah kedai makan yang menjadi perdebatan netizen di media sosial, sejak beberapa minggu lepas.

Malah, trend terbaharu ini turut menjadi perhatian pakar kesihatan yang melahirkan kebimbangan terhadap perbuatan mengambil minuman berkenaan kerana ia boleh memberi kesan buruk seperti kanser kepada individu.

Ini kerana ia bersifat karsinogenik serta boleh menyebabkan usus tersumbat jika diambil secara kerap bagi tempoh yang lama.

Tambah KKM lagi, sifat arang panas (bara arang) yang dimasukkan ke dalam kopi adalah berbeza dengan arang yang diaktifkan yang lazim digunakan dalam industri makanan. Hal ini kerana arang tesebut sudah diproses dan ditulenkan serta selamat untuk digunakan.

“Bagaimanapun, arang panas yang dimasukkan secara terus dalam kopi seperti yang ditularkan itu tidak dapat dipastikan, sama ada telah diproses dengan betul atau selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain.

“Justeru, sebagai langkah pemantauan, siasatan akan dijalankan setelah KKM mendapat maklumat lengkap premis makanan yang ditularkan,” jelas KKM lagi

Kopi yang dimasukkan dengan bara arang atau dipanggil "Kopi Joss” di Indonesia itu dikatakan viral kerana mempunyai keunikan rasa tersendiri selain dikatakan merupakan cara untuk menyingkirkan toksin dari dalam badan.

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: