[VIDEO] "Darah Sikit Baru Palestin" - Dai’ Syed Biadap Samakan Warna Gincu Isteri Dengan Penderitaan Penduduk Palestin!

TERKINI
October 27, 2023 - 12:06 PM


Nama pendakwah bebas, Da’i Syed kembali menjadi sebutan selepas muncul di dalam satu siaran langsung di laman aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Mana tidaknya, Da’i Syed yang tampil bersama isteri, Hana Ismail itu seakan-akan mempersendakan penderitaan dialami penduduk bandar Gaza, Palestin ketika ini.

Sesi siaran langsung berkenaan sempat dirakam sebelum dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform tersebut.

Bertujuan untuk mempromosikan produk kosmetik keluaran Hana yang juga seorang pengacara itu, Da’i Syed terlihat sedang memakaikan gincu kepada isterinya.

Hana mulanya dipuji kerana menahan sabar dan tetap bercakap dengan nada lembut walaupun suaminya bertindak menconteng bibirnya dengan gincu tersebut.

Namun begitu, kata-kata yang ‘tidak sengaja’ keluar daripada mulut Da’i Syed telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan amarah daripada kalangan penonton video.

“Darah sikit baru Palestin,” ujar lelaki berusia 28 tahun itu sambil menambahkan gincu merah di tepi bibir Hana seakan menggambarkan isterinya sebagai mangsa kekejaman Israel.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik nama sebenar, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful itu.

Hal ini kerana, bekas peserta rancangan realiti agama, Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat itu kelihatan seperti mempermainkan penderitaan rakyat Palestin.

Seharusnya bersikap lebih sensitif, ada juga individu yang menyarankan agar Da’i Syed lebih berhati-hati dan lebih cakna dengan isu membabitkan Baitulmaqdis.

“Astaghfirullahalazim. Macam itu sahaja dia buat main bab Palestine. Mereka bergadai nyawa pertahankan hak Islam. Lebih baik diam daripada bersuara,” kata seorang pengguna.

“Tak sesuai bergurau mengenai PALESTIN. Seolah-olah tak sensitif dengan derita di sana. Selepas ini mohon berhati-hati supaya kita semua lebih cakna (isu Palestin),” komen pengguna lain.

Sumber: Malaysia Dateline

Destination: