"Hatyai Umpama Mini Malaysia" - Tiket KTMB ke Hatyai 'Sold Out' Sampai Januari 2024

TRAVEL
November 10, 2023 - 04:41 PM


Tiket perjalanan ke Hatyai, Thailand pada bulan ini hingga Januari 2024 yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) habis dijual melalui pembelian dalam talian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia -- Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Noor Haniza Noordin berkata, perjalanan tren MySawasdee dari Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) ke Hatyai dan pergi balik hanya beroperasi pada musim cuti panjang seperti cuti sekolah dan cuti perayaan.

“Setakat ini, KTMB menawarkan tiket perjalanan pada 10 hingga 13 November 2023, 15 hingga 18 Disember 2023, 22 hingga 25 Disember 2023 dan 29 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 dan kesemuanya habis.

“Sebanyak 160 katil dan 240 tempat duduk bagi satu perjalanan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 400 tiket ditawarkan telah penuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan -- Hatyai di Thailand kini menjadi seakan-akan ‘mini’ Malaysia apabila setiap cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan dipenuhi pelancong negara ini.

Dalam tempoh lapan bulan dari Januari sehingga Ogos, seramai 703, 640 pelancong memasuki Thailand melalui sempadan negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 555,304 memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar dan 148,336 melalui Wang Kelian.

Pada hari minggu dan musim cuti persekolahan khususnya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar sesak berikutan orang ramai mengambil kesempatan bercuti ke Thailand.

Dijangka menjelang cuti Deepavali hujung minggu ini, pelancong Malaysia dan luar akan melalui ICQ Padang Besar untuk bercuti di Hatyai.

Isu tersebut muncul susulan ketibaan pelancong ke Langkawi dilaporkan merosot teruk dengan pelbagai perniagaan di pulau itu terjejas.

Noor Haniza berkata, harga yang ditawarkan oleh KTMB bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Hatyai adalah RM75 untuk kelas superior, RM89 bagi katil atas dan katil bawah berharga RM97.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di laman sesawang ‘Red Bus’ mendapati -- tempahan tiket pergi-balik ke Hatyai untuk bulan ini khususnya sempena Deepavali dan musim cuti sekolah laris dijual secara dalam talian.

Setakat tempoh November ini, setiap bas yang bergerak ke Hatyai masing-masing hanya tinggal beberapa kerusi sahaja yang belum ditempah.

Dianggarkan tiket bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Hentian Duta turut habis pada hujung tahun ini ekoran musim cuti panjang seperti cuti sekolah dan cuti perayaan.

Agensi perkhidmatan bas yang menyediakan perjalanan ke Hatyai adalah Suasana Tony Coach, Super Nice Express, Alisan Golden Coach dan Kesatuan Express.

Dalam pada itu, tinjauan melalui pembelian tiket di laman sesawang Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 10 hingga 13 November telah habis dijual melibatkan sembilan agensi perkhidmatan bas yang menawarkan ke tempat tersebut.

Antara agensi perkhidmatan yang menawarkan perjalanan ke Hatyai adalah Sri Maju Group, Lucky Express, Super Nice Grassland dan enam lagi agensi lain.

Dianggarkan pembelian tiket bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) turut laris pada hujung tahun ini ekoran musim cuti panjang seperti cuti sekolah dan cuti perayaan.

Sumber: Utusan Malaysia

Destination: