Makan Buah Naga, Sambil Lihat Pesawat Terbang Rendah. Kat Sepang Je Korang!

TRAVEL
November 22, 2023 - 12:48 PM


Buah naga menjadi antara buah-buahan pencuci mulut digemari ramai kerana khasiat dan kemanisan rasanya, apatah lagi buah berasal dari Amerika Selatan itu mudah didapati di pasaran.

Di Malaysia, Sepang terkenal sebagai daerah pengeluar buah daripada spesies kaktus itu, dengan keluasan ladang lebih 800 hektar, sama ada diusahakan petani kecil atau pengusaha besar bagi tujuan eksport.

Antaranya, ladang buah naga "HL Dragon Fruit Eco Farm" -- yang menjadi tertumpu kepada pengeluaran buah dan sebagai lokasi agropelancongan yang menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

Berbeza ladang lain, kawasan tanaman berkeluasan 1.2 hektar milik Hong Long International Group Sdn Bhd ini turut memiliki restoran menyediakan pelbagai makanan dan produk buah naga.

Pendek kata, dari ladang sehingga ke meja makan, semuanya berasaskan buah naga!

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Eugene Chia -- berkata ketika ramai pengusaha menceburi penanaman buah naga di daerah itu, perusahaan dimulakan bapanya, Sam Chia, kira-kira 20 tahun lalu itu meneroka bidang baharu, daripada pertanian tradisional menjadi perusahaan menggabungkan elemen pelancongan dan pendidikan.

Kini, ia menjadi antara tersenarai dalam lokasi tarikan pelancong di Selangor.

"Lazimnya buah naga hanya dilihat di rak pasar raya, di ladang ini, pengunjung berpeluang melihat pokok buah naga dari dekat, selain merasai pengalaman menanam dan memetik buah naga.

"Pelbagai variasi buah naga ditanam di sini, antaranya 'Red Ruby', 'Honey White', 'Yellow King' dan yang terbaru, 'Pink Ruby'. Pengunjung diberi penerangan mengenai penanaman serta keistimewaan setiap variasi," katanya.

REPLIKA BUAH NAGA TERBESAR DI DUNIA 

Menambah lagi keunikan di ladang terletak di Jalan Besar Batu Satu, Sepang itu, adalah struktur buah naga terbesar di Malaysia dibina pada 2020 dan diiktiraf The Malaysia Book of Records.

Bukan itu sahaja, malah baru-baru ini iaitu pada 19 November 2023 -- ladang berkenaan turut diiktiraf Guinness World Records sebagai 'Replika Buah Naga Terbesar Pertama Di Dunia'! Power!!!

Struktur menara setinggi tiga tingkat itu memberi peluang pengunjung menyaksikan pemandangan seluruh ladang yang menempatkan kira-kira 3,000 pokok buah naga itu.

Kedudukannya yang terletak kira-kira 26 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga membolehkan pengunjung melihat secara dekat pesawat terbang rendah sebelum mendarat.

"Pada waktu puncak seperti cuti sekolah, pengunjung datang ke sini boleh mencecah sehingga 3,000 orang sehari. Ada yang 'walk in' dan ada yang membuat tempahan.

"Kami menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri, jadi ada datang dengan rombongan menaiki bas, termasuk dari luar negara seperti Eropah, Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi," katanya.

Menceritakan menu dan produk berasaskan buah naga, katanya, ia tercetus selepas ladang milik keluarganya itu menghasilkan buah naga yang begitu banyak, ada kalanya melebihi permintaan.

Pada 2016, restoran bertemakan buah naga dibuka di ladang itu yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia menyajikan pelbagai jenis makanan seperti nasi dan mi, minuman sejuk serta pencuci mulut serta produk hiliran daripada buah berkenaan.

'LAYAN' NASI LEMAK BUAH NAGA 

Antara menu kegemaran nasi lemak buah naga dan roti buah naga, lebih dikenali sebagai Jumbo Dragon Bun.

"Jika di Cameron Highlands, kita ada nasi lemak strawberi, di sini, kita ada nasi lemak buah naga. 'Signature dish' kami adalah roti buah naga, berwarna merah jambu dan dimasak dengan kari ayam diletakkan di dalamnya.

"Turut disediakan kelas menyediakan roti buah naga ini, selain minuman unik, 'Dragon Breath' mesti dicuba.

"Maklum balas diterima amat baik kerana tidak terfikir buah naga boleh menghasilkan pelbagai jenis makanan dan enak," katanya.

Produk hiliran dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan kerana keunikan ditampilkan, seperti enzim buah naga, pes masakan dan kerepek.

"Istimewanya kerepek dihasilkan 100 peratus daripada buah naga tanpa gula tambahan atau pengawet. Kerangupan dan kemanisan asli daripada buah naga," katanya.

Menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Johan Inovasi Pertanian Selangor 2022, pihaknya Eugene mahu mempelbagaikan produk dan perkhidmatan ditawarkan di ladang seperti menambah variasi buah naga, selain aktiviti santai lain di ladang ini bagi memberi lebih banyak pengalaman kepada pengunjung.

"Potensi penanaman buah naga mampu melonjakkan ekonomi di Sepang dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk," katanya.

Sumber: Berita Harian & Kredit Gambar: HL Dragon Fruit Eco Farm

Destination: