Syok Tau Kuala Pilah Ni! - 5 Tempat Best Di Bandar Diraja Negeri Sembilan

TRAVEL
August 07, 2023 - 05:14 PM


Hujung minggu nanti sudah tentu korang sudah terfikir untuk berjalan ke tempat-tempat yang tak sesak dan tak ramai orang. Sikit-sikit nak healing di pantai dan sungai je. Ramai sangat nak healing sampai tempat tersebut pun dah dikerumun orang setiap hujung minggu.

Cuba korang turun ke selatan tanah air yang ada banyak tempat menarik. Tak usah memandu jauh-jauh, cukup berjalan ke sana selama satu hari pun dah memadai. Contohnya, macam Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Kuala Pilah memang dikenali sebagai salah satu bandar yang menarik dengan budaya dan warisan Adat Perpatih. Bukan itu saja, lokasinya sangat strategik dan tak jauh, cuma mengambil masa satu jam setengah saja pemanduan dari ibu kota Kuala Lumpur.

Siapa kata Kuala Pilah tu jauh? Alang-alang dah ke Negeri Sembilan tu, singgahlah dulu ke sini. Macam-macam aktiviti dan landmark boleh dilawati bersama keluarga atau rakan-rakan. Ini min bawa korang 'bersiar-siar' ke 5 tempat menarik di Kuala Pilah!

1. Muzium Diraja Seri Menanti

Terletak bersebelahan dengan Seri Menanti Resort di Kuala Pilah, Muzium Diraja Seri Menanti ini dahulunya merupakan istana lama dan kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900-an. Kalau korang nak tahu, istana ini sangat unik kerana diperbuat daripada kayu tanpa sebarang paku tau!

Muzium ini terbahagi kepada empat bahagian berbeza bermula dari Balai Rong Seri iaitu tempat takhta dan mengadap raja, Balai Raja Muda, Bilik Beradu dan akhir sekali Ruang Santapan. Pada ruangan-ruangan ini anda dapat melihat juga pameran gambar-gambar yang berkaitan dengan kawasan tersebut.

Selain itu, terdapat pelbagai bahan pameran seperti senjata api, pakaian serta dokumen berkaitan keturunan kerabat diraja. Kemasukan adalah percuma tau dan muzium ini dibuka setiap hari waktu pejabat dan juga cuti umum. Banyak kisah sejarah yang anda boleh manfaatkan bila datang ke sini.

Waktu operasi : Selasa hingga Jumaat (9 pagi - 5 petang)

Alamat : Kampung Batu Tempurong, 71550, Seri Menanti, Negeri Sembilan

No. telefon : 06-497 9653

2. Wave Rock

Kalau korang seorang yang menggemarkan aktiviti hiking atau rock climbing, masukkan sekali Wave Rock ini dalam wishlist. Wave Rock ni boleh jadi port baharu korang untuk melakukan aktiviti lasak sekaligus dapat mencabar tahap adrenalin.

Kalau korang nak tahu, Wave Rock merupakan batu besar yang berbentuk bulat dengan sebahagian daripadanya memiliki tekstur beralun seperti ombak. Kalau nak tengok bentuk batu ni sendiri, kena lah daki sampai ke puncak!

Jangan cakap penduduk tempatan je, hikers dari luar negara seperti Perancis dan Jepun pun turut mendaki untuk melihat Wave Rock ini sendiri. Sebagai peringatan, trek mendaki agak sedikit mencabar buat mereka yang belum pernah lagi hiking sebelum ini.

Para pendaki yang berminat hendak mendaki dan melihat sendiri Wave Rock akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM11 iaitu RM5 daripadanya adalah permit hutan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan Bayaran RM6 untuk masuk ke Bukit Baginda dikutip oleh Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Untuk info tambahan, bayaran untuk permit perlu dibuat di Pejabat Hutan Kuala Pilah manakala pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, boleh dibuat kepada pegawai perhutanan yang berada di situ.

Alamat : Kampung Majau, 72200, Batu Kikir, Negeri Sembilan

Waktu operasi : Seawal 7 pagi

3. Taman Rekreasi Ulu Bendul

Ini merupakan tempat yang korang tak boleh lepaskan peluang menikmati keindahan alam semula jadi. Taman Rekreasi Ulu Bendul menjadi tempat yang amat sesuai untuk membawa keluarga dan kawan-kawan berkhemah dan bermacam-macam aktiviti di sini.

Orang dari luar Kuala Pilah pun sanggup datang ke sini tau sebab keunikan Taman Rekreasi Ulu Bendul ni memang tak ada dekat tempat lain. Tapak perkhemahan disediakan kepada sesiapa yang ingin berkhemah di sini dengan kadar RM5 untuk semalaman. 

Seperti kebanyakan taman rekreasi yang lain, di sini juga terdapat gerai makan tersedia di luar pintu masuk bagi memudahkan pengunjung yang hendak membeli makanan atau kudap-kudap. Nak masuk kena bayar ke? Tak ada bayaran masuk akan dikenakan. Percuma je!

Alamat : Hutan Lipur Ulu Bendul Kuala Pilah, Ulu Bendul, Kuala Pilah

Waktu operasi : Setiap hari (7 pagi - 6 petang)

4. Gunung Angsi

Gunung Angsi merupakan salah sebuah gunung yang terkenal di Negeri Sembilan dan mempunyai ketinggian sekitar 825 meter (2,702 kaki). Terletak lebih kurang satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Gunung Angsi sering dijadikan lokasi untuk berlatih dan beriadah oleh warga kota.

Selain itu, lokasinya juga berdekatan dengan Taman Rekreasi Ulu Bendul menjadikan Gunung Angsi begitu popular di kalangan pendaki yang mahu mandi-manda selepas berjaya menawan puncak Gunung Angsi.

Terdapat dua laluan pendakian iaitu trailhead Ulu Bendul dan Bukit Putus. Trailhead Bukit Putus lebih mudah dan santai berbanding trailhead Ulu Bendul yang mempunyai jarak trek laluan anak sungai yang lebih jauh. Macam hutan dan tempat mendaki lain juga, anda wajib mendaftar di Pejabat Taman Ranger sebelum memulakan pendakian dan membayar yuran sebanyak RM 5 seorang.

Alamat : Gunung Angsi, Jalan Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Waktu operasi : Seawal 7 pagi

5. Bukit Senaling

Bukit Senaling bukan sahaja menawarkan pemandangan yang menarik malah pendaki akan menikmati pemandangan awan karpet yang teramat cantik serta sangat memukau setelah tiba di puncak.

Dengan ketinggian 394 meter, bukit ini sesuai untuk dijadikan lokasi pendakian bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pendakian. Sudah pasti ia juga sesuai buat sesiapa sahaja yang gemar untuk mendekati alam flora dan fauna, sambil menikmati pemandangan matahari terbit yang dihiasi kabus serta awan karpet di sekelilingnya.

Trek laluan ke atas agak jelas dan tidak terlalu semak membuatkan ia mudah untuk dilalui oleh para pendaki. Tapi terdapat beberapa lokasi di trek yang agak licin, khususnya jika baru berlakunya hujan.

Perjalanan dari titik mula sehingga ke Puncak Bukit Senaling adalah sejauh kurang lebih 3km. Ada antara para pendaki yang memulakan pendakian seawal jam 5 pagi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena matahari terbit.

Bagaimanapun, buat korang yang ingin mendaki perlulah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Ulu Senaling Hikers dan person-in-charge mereka. Ini kerana sepanjang laluan mendaki bukit, para pendaki perlu melalui tanah-tanah persendirian yang terhad untuk orang luar termasuk kawasan meletak kereta. Ulu Senaling Hikers akan menyediakan peralatan lengkap sewaktu mendaki termasuk seorang jurupandu (guide). Bayaran yang dikenakan diantara RM15 sehingga RM20.

Alamat : Bukit Senaling Hiking Trail, 72000, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Haa jangan fikir Kuala Pilah tiada tempat best dan membosankan, tau. Ini baru tempat menarik, belum lagi tempat makan menarik di sekitar Kuala Pilah yang terkenal dengan masak lemak dan dodol cairnya. Kalau korang inginkan 'quick escape', Kuala Pilah-lah tempat yang sesuai!

Sumber : JomExplore.io

Destination: