2 September – Tarikh ‘Kematian’ Muzik Di Rock Corner

TERKINI
August 28, 2018 - 03:41 PM


Berita yang agak menyedihkan buat penggemar muzik dan secara khususnya mereka yang gemar atau lebih suka membeli sesuatu yang fizikal berbanding atas talian.

Disebabkan kemajuan dan kemudahan yang boleh diakses melalui internet dan juga telefon pintar, rata-rata penggiat muzik tidak lagi melancarkan album secara fizikal; tetapi lebih memfokuskan kepada laman web ataupun aplikasi penstriman muzik atas talian.

Salah satu faktor mungkin menjimatkan kos, kedua; dah ‘malas’ nak hadap masalah cetak rompak yang masih lagi berleluasa termasuklah masih ramai yang bertindak untuk memuat turun secara haram tanpa sedar yang perbuatan mereka tu sedikit sebanyak menjejaskan industri muzik secara amnya dan khususnya artis dan karyawan tempatan.

Nampaknya, zaman kita menghabiskan masa berjam-jam di kedai hanya untuk mendegar lagu ataupun membelek cd (sebelum tu kaset) yang ada di kedai akan berakhir.

Kedai menjual cd atau rekod berkaitan muzik terbesar iaitu Rock Corner bakal menutup perniagaan mereka dan juga outler terakhir di The Gardens pada 2 September nanti.

Antara faktor yang disebut oleh Frankie Eng; salah seorang pengasas dan pemilik Rock Corner adalah penurunan jualan muzik dalam bentuk fizikal (Cd dan vinyl), sewa kedai yang terlampau tinggi dan hampir keseluruhan label rekod memfokuskan kepada streaming.

Flagship store di The Gardens dibuka pada 2007 dan mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 cakera padat, selain daripada lambakan rak DVD dan Blu-Rays, LP, merchandise berkaitan dengan muzik dan jugak penjualan tiket konsert.

Jualan Murah - Penutupan Rock Corner The Curve

Bercerita tentang outlet pertama Rock Corner, ia hanyalah sebuah outlet kecil yang terletak di Kota Raya pada tahun 1990 sebelum berkembang ke beberapa Gedung beli belah utama di Lembah Klang seperti di Mid Valley dan KLCC.

Sebelum ini, cawangan di KLCC dan Mid Valley terpaksa ditutup namun menambah vinyl kerana pengumpul dan peminat vinyl masih wujud dan masih gemar mengumpul. Walaupun begitu, Rock Corner masih tidak dapat bersaing; dan tiga lagi outlet di The Curve, Bangsar Village dan Subang Parade turut ditutup.

Tidak dinafikan, walau muzik sudah boleh didapati atas talian, tetap ada yang suka untuk memasuki dan membelek cd yang ada di kedai muzik.

Kalau korang nak simpan sekeping-dua CD sebagai kenangan (Satu hari nanti mungkin CD dah tak wujud), bolehlah ke cawangan Rock Corner di The Gardens sebelum diorang ‘bungkus’ pada 2 September nanti.