6 Jenama Sardin Disahkan Ada Cacing, Ditarik Balik Dari Pasaran – KKM




Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran selepas kesemuanya disahkan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda.

Sebelum ini, KKM telah mengeluarkan arahan yang sama kepada dua jenama daripada China iaitu TL Tan Lung dan juga TLC.

Hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Terbaru, terdapat 6 produk ikan sardin dalam tin yang turut  ditarik keluar daripada pasaran iaitu daripada jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

KKM dikatakan akan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk import terutamanya ikan dalam tin di semua pintu masuk negara. Sementara itu, bagi produk tempatan, kesemua kilang pengeluaran akan diverifikasi oleh pihak KKM.

Namun begitu, pihak KKM meminta pengguna tidak perlu khuatir kerana risiko kepada kesihatan bagi produk ikan dalam tin adalah rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak dan juga pengetinan.