6 Jenis Kesalahan Jalan Raya Ini Akan Dikenakan Saman RM300 Serta Merta

TERKINI
January 23, 2019 - 02:52 PM


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, saman mandatori bernilai RM300 akan dikenakan serta-merta terhadap pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat 14 2019 dijalankan bersempena Tahun Baru Cina ini yang mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Enam kesalahan utama yang terdiri daripada:

  1. pemanduan di lorong kecemasan
  2. memotong di garis berkembar
  3. menggunakan telefon bimbit semasa memandu
  4. potong barisan
  5. melanggar lampu isyarat
  6. memandu melebihi had laju.

Noor Rashid berkata lagi, setiap kali musim perayaan pastinya dua laluan di lebuhraya Perak iaitu Simpang Pulai-Gopeng berdekatan Hentian Sebelah Simpang Pulai di antara kilometer (KM) 287 hingga 289.95 dan laluan dari Slim River menghala ke Sungkai di KM367.3 (arah utara) akan mengalami kesesakan yang teruk.

Justeru itu, bagi memastikan kelancaran jalan raya dua laluan ini, sempena Op Selamat 14 ini dijalankan, anggota polis akan ditempatkan di kedua-dua laluan tersebut serta dua lorong kecemasan juga akan dibuka di lebuh raya tersebut bagi mengelakkan berlakunya kecemasan dan memastikan pengguna dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat, sesuai dengan tema Op Selamat yang dikekalkan iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

Meskipun Op Selamat dilakukan setiap tahun, namun seringkali terdapat peningkatan kes kemalangan mahupun saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dek kerana sikap mereka yang tidak bertanggungjawab yang tidak mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan juga sikap yang hanya pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan orang sekeliling.

Bak kata pepatah, ‘biar lambat asalkan selamat’. Harap semua yang pulang ke kampung dapat tiba ke destinasi yang dituju.