AirAsia Tarik Balik Jualan Tiket Penerbangan Melalui Traveloka



Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia baru-baru ni memutuskan untuk menarik balik status penjualan tiket penerbangan milik mereka daripada agen penjualan tiket online, Traveloka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta, penarikan balik penjualan tersebut melibatkan semua penerbangan dan destinasi dalam jaringan AirAsia.

Penarikan balik penjualan ini sebenarnya dilakukan atas sebab ‘kehilangan’ penerbangan AirAsia Indonesia dalam sistem Traveloka untuk kali kedua dalam dua minggu. Pertama, berlaku pada 14 hingga 17 Februari dan terkini bertarikh 2 Mac lalu.

Menurut direktor AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan ketiadaan senarai penerbangan daripada AirAsia dalam sistem Traveloka telah menjejaskan kerjasama yang dipersetujui dua syarikat tersebut. Lebih memburukkan keadaan, pihak Traveloka gagal untuk mengemukakan alasan dan penjelasan yang munasabah sekalipun telah dihubungi oleh pihak AirAsia.

Dalam masa yang sama, pihak AirAsia merasakan tindakan agen Traveloka adalah tidak profesional. Ini berikutan pertanyaan di media sosial Traveloka berkenaan penerbangan AirAsia dan pihak Traveloka meminta mereka membuat tempahan dengan syarikat penerbangan lain.

Sebagai tindakan solidariti, pihak AirAsia memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Traveloka dan menarik balik kesemua penjualan tiket penerbangan mereka daripada syarikat berkenaan.

Selepas ini, pihak AirAsia mengesyorkan pembelian dibuat melalui portal dan aplikasi rasmi AirAsia ataupun laman web mereka.

Kalau korang ada beli tiket melalui Traveloka, jangan risau. Sebabnya, melalui tweet di AirAsia dengan pengguna yang bertanyakan status pembelian mereka, tiket yang telah dibeli masih valid.