Dek Kerana Lambakan Durian, Pemilik Dusun Di Kedah Ini Tawar Konsep 'Makan Percuma Sampai Kenyang'!

TERKINI
June 12, 2023 - 04:47 PM


Jika anda berada di utara tanah air atau lebih tepat lagi di sekitar Jitra, Kedah -- anda berpeluang untuk makan durian secara percuma sehingga kenyang!

Ini kerana seorang pemilik dusun durian di Kampung Lembah Arang, Jalan Wang Tepus bernama Elias Darus memberi tawaran istimewa itu kepada pengunjung yang membeli raja buah itu di situ.

Tawaran berkenaan dibuka beliau berikutan berlakunya lambakan durian pada musim kali ini di dusunnya.

Dia juga terpaksa membuka tempahan kepada orang ramai itu melalui media sosial.

Menurutnya, dusun pusaka seluas 2.5 hektar menghasilkan buah yang banyak pada tahun ini.

"Dusun ini mempunyai hampir 100 batang pokok durian dan setiap pokok mampu mengeluarkan antara 80 hingga 100 biji buah secara berperingkat.

"Keseluruhan pokok durian di sini adalah jenis durian kampung tetapi ada juga jenis Musang King tapi tak banyak sangat malah tak menjadi tahun ini.

"Dalam sehari, kira-kira 200 kilogram (kg) durian gugur pada sebelah pagi dan saya menjualnya mengikut tempahan yang diambil," katanya.

Elias berkata, harga durian juga sudah jatuh iaitu sekitar RM8 sekilogram berbanding RM10 dan RM12 sebelum ini.

"Lagi banyak buah, harganya akan turun dan saya mengalu-alukan mereka yang datang secara berkumpulan untuk datang ke sini tetapi perlu membuat tempahan terlebih dahulu," katanya.

Elias yang juga pesara kerajaan berkata, paling jauh pelanggan yang datang adalah dari Selangor dan ada yang datang dari pelbagai kaum termasuk Cina.

"Musim durian kali ini ada dua peringkat dan sekarang ini masih di peringkat pertama, manakala peringkat kedua pula akan gugur sekitar hujung Ogos atau September nanti," katanya.

Bagi yang berminat untuk membeli durian dan makan durian dalam dusun, boleh menghubungi Wa Long Elias di talian 019-4936430.

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: FB Zuraini Kamal

Destination: