"Dia Yang Dera Anak Orang, Dia Yang Report Polis!" - Dakwa Dikasari Bapa Mangsa, Pengasuh Buat Laporan

TERKINI
August 10, 2023 - 12:19 PM


Baru-baru ini viral satu klip video yang membuatkan ramai ibu bapa berasa marah. Klip video yang memaparkan seorang pengasuh yang bertindak memukul dan mendera seorang kanak-kanak.

Terbaharu, pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, di sini, hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang didera pengasuh terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya setakat ini, menerima tiga laporan polis mengenai kejadian itu.

Katanya, laporan polis itu daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh taska (suspek) yang mendakwa dikasari oleh bapa kanak-kanak terbabit.

"Mangsa kanak-kanak dan suspek dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan doktor.

"Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikuti Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan" katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, terdahulu pihaknya mengesan satu rakaman video yang tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikasari oleh seorang pengasuh di taska.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati insiden itu berlaku di sebuah taska di Luyang, di sini.

"Ibu bapa kepada kanak-kanak (mangsa) itu dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia dikasari pengasuh taska sehingga mendapati kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

"Ibu bapa kanak-kanak itu pergi ke taska berkenaan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati anaknya (mangsa) dikasari oleh seorang pengasuh di taska berkenaan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Penampang," katanya.

 

Destination: