Duduk Bercangkung & Berteduh Bawah Pokok, Kisah Pakcik Posmen Cetus Simpati Netizen



Dalam pada semua masyarakat disaran untuk mengurangkan aktiviti luar akibat fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini, namun tiada istilah sedemikian buat para posmen.

Bagi mereka amanah untuk memastikan penghantaran surat atau bungkusan selamat tiba ke tangan penerima lebih utama tanpa mengira keadaan panas, hujan atau ribut petir.

Di laman Twitter, kisah kegigihan seorang posmen untuk menghantar bungkusan kepada pelanggannya hingga terpaksa duduk bercangkung dan tumpang berteduh di bawah pokok di depan rumah penduduk, sebelum membuat beberapa panggilan telefon, nyata menyentuh hati netizen.

Beberapa gambar pakcik posmen itu dikongsi menerusi akaun Twitter 999 Malaysia yang disumbangkan oleh individu bernama Zamri Riffin.

Ia telah di’retweet’ sebanyak 12 ribu kali dan mendapat  'like' lebih 7 ribu orang.

Meskipun kerjaya posmen tidak menjanjikan upah yang lumayan, namun dedikasi pakcik posmen tersebut mengundang simpati dan rasa hormat netizen.