"Ingat Berani Sangat!" - The 1975 Sanggup Terbang Awal Pagi, Elak Dicekup Polis

TERKINI
July 25, 2023 - 03:19 PM


Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sempat mengambil tindakan terhadap kumpulan kontroversi, United Kingdom (UK), The 1975, susulan mereka sudah berlepas awal sebelum laporan dibuat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, insiden berlaku pada lebih kurang pukul 11.30 malam namun laporan polis diterima esoknya pada pukul 2 petang.

Menurutnya, kumpulan The 1975 telah berlepas pulang lebih awal iaitu pada pukul 5.30 pagi, 22 Julai lalu.

“Ramai mempertikaikan kenapa polis tidak ambil tindakan cepat. Bukannya kita tidak mahu bertindak, tetapi PDRM tidak sempat sebab laporan polis dibuat esoknya pukul 2 petang. Setakat ini kami terima 18 laporan polis, lapan di Selangor manakala 10 laporan lagi dari kontinjen luar.

“Sebanyak 13 rakaman percakapan diambil dimana enam daripadanya adalah keterangan pengadu, satu daripada penganjur dan enam keterangan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera bagi Kejohanan World Police and Fire Games, di Ibu Pejabat Polis Polis, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Mengulas lanjut, ujarnya, setakat ini sekiranya ada proses pendakwaan kumpulan The 1975, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK.

Katanya, tidak perlu melibatkan Polis Antarabangsa (Interpol) kerana kesalahan dilakukan di Malaysia dan bukannya luar negara.

“Kesalahan yang dilakukan juga bukan kesalahan besar seperti culik, bunuh atau kes besar. Jadi tidak perlu libatkan Interpol. Saya yakin selepas ini, Puspal akan lebih berhati-hati. Mungkin akan datang, lihat secara keseluruhan. Kalau artis-artis kontroversi, tak perlu bawa masuk.

“Puspal yang akan buat keputusan, jadi pihak-pihak penganjur perlu merujuk kepada mereka,” katanya.

Destination: