Jom Kenali 3 Hakim Wanita Yang Jadi Tumpuan Kes Najib 'Bekas Perdana Menteri Pertama' Ke Penjara

TERKINI
August 23, 2022 - 08:24 PM


Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak dilihat turut menarik apabila dilihat dari lensa wanita.

Datuk Seri Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd berdepan 5 panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat

Selain Tengku Maimun, dua lagi Hakim Persekutuan wanita yang berperanan dalam kes tersebut adalah Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan -- di mana menariknya lagi trio mereka dilihat secara kebetulan mewakili komposisi kaum di negara ini.

Keputusan hukuman yang dijatuhkan ke atas Datuk Seri Najib pada hari ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjara atas jenayah pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, di media sosial pula netizen membanjiri komen dengan menzahirkan sokongan padu terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat panel hakim lain -- selain memuji ketegasan pasukan hakim yang majoritinya terdiri daripada wanita.

Jadi jom kita kenali siapa di sebalik trio hakim hebat wanita yang bergelar "Yang Arif"  ini.

TUN TENGKU MAIMUN TUAN MAT

Tun Tengku Maimun Tuan Mat mencipta sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2022.

Lulusan Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang berusia 63 tahun itu memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim mahkamah sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat, menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

DATUK NALLINI PATHMANATHAN

Datuk Nallini Pathmanathan mencipta sejarah sebagai hakim wanita pertama dari kaum India yang menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia iaitu mahkamah tertinggi negara!

Beliau yang dilahirkan pada 23 Ogos 1959 di Pulau Pinang, memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Sains dari Universiti London dan Diploma Undang-Undang dari Universiti Westminster.

Kerjaya undang-undang beliau bermula pada tahun 1984 apabila dimasukkan ke English Bar sebagai Peguam Cara oleh Middle Temple of United Kingdom.

Datuk Nallini dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mac 2007 dan kemudiannya bertugas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Kemudian beliau dilantik pula sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2009 dan kemudiannya bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selepas itu, Datuk Nallini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia pada 12 September 2014 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November 2018.

DATUK MARY LIM THIAM SUAN

Datuk Mary Lim Thiam Suan dilahirkan pada 4 November 1957 dan kini berusia 65 tahun.

Beliau mendapat pendidikan di University of Leeds dan University of Western Australia.

Datuk Mary dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2009 dan kemudiannya bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selepas itu beliau memegang gelaran sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2010 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Dagang).

Pada tahun 2013, beliau menyambung tugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Pembinaan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Pembinaan) sebelum dilantik pula sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016 sehingga 24 Mac 2020.

Datuk Mary dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 25 Mac 2020 sehingga kini.

Sumber: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia & BERNAMA

 

Destination: