"Kerana Nyamuk, Kelambu Dibakar" - Peniaga Kesal Tukang Viral Tularkan Kedainya Jadi Port Hisap Rokok

TERKINI
July 25, 2023 - 05:21 PM


Rasanya sudah banyak kedai makan atau gerai yang dah tampal papan larangan merokok. Tapi masih ada lagi yang 'keras kepala' merokok di dalam premis berkenaan.

Peniaga khususnya harus bertegas dengan pelanggan agar tidak merokok di dalam premisnya. Tetapi berlainan yang jadi apabila peniaga menyalahkan si tukang tular kerana dia menanggung kerugian daripada insiden tersebut.

Gara-gara kejadian tular pelanggan merokok di kedainya sejak minggu lalu, seorang peniaga roti canai di Kota Bharu terpaksa menanggung kerugian hampir 80 peratus.

Memetik laporan Sinar Harian, peniaga tersebut yang memperoleh jualan sekitar RM500 sehingga RM600 sehari sebelum ini berkurang hingga RM100 kerana roti canai tidak habis dijual.

Peniaga itu meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana dia berniaga untuk membantu bapa saudaranya yang merupakan pesakit jantung.

"Bukan nak mengeluh, tapi nak beritahu, akibat kena tular pasal kakitangan hospital hisap rokok dalam kedai, kami hilang pendapatan. Roti canai biasanya 15 kilogram habis setiap hari. Sekarang 2 kilogram pun tak habis" katanya.

Tambahnya lagi, kejadian itu pertama kali berlaku sejak 15 tahun berniaga di kawasan tersebut walaupun sudah meletakkan tanda larangan merokok di kedainya.

Menurut peniaga terbabit, kedainya berdekatan hospital itu memang sering dikunjungi kakitangan yang turut menjadi pelanggan tetapnya namun bukan semua merokok tetapi tindakan sesetengah mereka menyebabkan pelanggan lain takut untuk datang.

"Isu sebenar nak beritahu kakitangan yang menghisap rokok dalam kedai makan, tetapi saya pula yang menanggung akibat apabila pelanggan tidak datang.

"Pihak yang menularkan perkara ini sepatutnya bertanggungjawab dan memikirkan dahulu kesan kepada peniaga seperti saya sebelum berbuat demikian" jelasnya kecewa.

Dia berharap agar keadaan itu tidak berlarutan kerana perlu membayar gaji kepada penebar roti canai sebanyak RM50 sehari dan sewa kedai RM300 dan disebabkan perkara itu, dia berharap pihak yang menularkan video tersebut tampil membuat permohonan maaf.

Itulah kata, 'kerana nyamuk, kelambu dibakar'. Sendiri yang tidak tegas dengan pelanggan, orang lain pula yang disalahkan.