"KLIA Ekspres & KLIA Transit Makin Kerap Bermasalah" - Menteri Tegur & Arah Syarikat Beri Laporan Segera!

TERKINI
August 22, 2023 - 04:13 PM


Bagi individu yang kerap menggunakan KLIA Eskpres dan KLIA Transit sebagai mod pengangkutan utama untuk bekerja atau ke lapangan terbang KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- pasti anda tahu bahawa sejak kebelakangan ini kedua-dua perkhidmatan tren premium di bawah syarikat Express Rail Link Sdn. Bhd. itu sering mengalami masalah!

Akibat masalah teknikal, kedua-dua perkhidmatan itu sehingga terpaksa digabung menyebabkan perubahan jadual ketibaan dan berlepas, malah penumpang ramai mengadu tidak mengetahui masa ketibaan dan pelepasan yang tepat.

Berikut antara masalah yang berlaku kebelakangan ini :

1) Pada Ahad lalu, KLIA Ekspres memaklumkan wayar terputus menyebabkan hanya satu landasan sahaja beroperasi untuk melakukan kerja-kerja pembaikan. Keadaan itu menuntut kepada kedua-dua jenis perkhidmatan iaitu KLIA Ekspres dan KLIA Transit terpaksa digabung.

2) KLIA Ekspres memaklumkan perkara itu menerusi hantarannya di Facebook dan memberitahu perkhidmatan pada keesokannya berjalan seperti biasa.

 

3) Pada 11 Ogos lalu, KLIA Ekspres dan KLIA Transit didakwa terus berdepan masalah teknikal sehingga menjejaskan pergerakan ramai penumpang yang menaiki perkhidmatan rel berkenaan ke destinasi masing-masing.

4) Pengguna-pengguna tren mengadu bahawa pendingin hawa KLIA Transit tidak berfungsi secara optimum, sering mengalami masalah teknikal menyebabkan suhu meningkat dan menimbulkan keadaan tidak selesa sepanjang 39 minit perjalanan.

Disebabkan masalah yang kerap berlaku itu, ramai pengguna bertindak mengadukan masalah berkenaan terus kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke -- dengan 'menandakan (tag)' namanya di media sosial.

Menyedari dirinya di 'tag' -- Anthony Loke memberitahu bahawa beliau akan menegur syarikat perkhidmatan tren premium Express Rail Link Sdn. Bhd. atau ERL berhubung masalah itu.

Malah beliau juga telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERL supaya mengemukakan laporan berkenaan masalah-masalah berbangkit melibatkan perkhidmatan syarikat berkenaan.

“Saya telah meminta CEO ERL untuk memberi laporan kepada saya mengapa perkhidmatan ini sampai perlu digabungkan?

“Jadi, mereka akan memberi laporan kepada saya dan apabila saya menerima laporan tersebut, kami akan memberi teguran dan melihatnya bagi memastikan perkhidmatan ERL ini tidak terjejas.

“Saya sering mengesan dalam media sosial saya, selalunya ada ramai pihak dalam media sosial mereka tandakan nama saya tentang isu seperti ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

KLIA Ekspres dan KLIA Transit dikendali Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) iaitu syarikat swasta terkemuka milik bersama YTL Corporation Berhad, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Trisilco Equity Sdn. Bhd. -- dengan masing-masing mempunyai nilai pegangan saham 50 peratus, 40 peratus dan 10 peratus.

Pada 25 Ogos 1997, kerajaan Malaysia telah menyerahkan konsesi 30 tahun kepada syarikat tersebut untuk membiayai, membina, mengendali dan mengawal selia sistem dan perkhidmatan rel penghubung Kuala Lumpur-KLIA.

Sumber: UTUSAN

Destination: