Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim Bakal Rancak Pelancongan Utara Semenanjung!



Wah...lepas ni semakin rancaklah sektor pelancongan dan ekonomi di utara tanah air kita.

Ini kerana, semalam Kerajaan Pusat meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata semua projek itu diluluskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Isnin lalu.

“Projek semua pembinaan infrastruktur itu dijangka mampu menjadi pemangkin kepada Kedah mencapai kemajuan setanding negeri maju lain,” katanya.

Untuk rekod, Kedah memiliki sebuah lapangan terbang antarabangsa di Langkawi dan sebuah lagi lapangan terbang domestik iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Turut diluluskan ialah pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A (Bandar Baharu-Sungai Petani) dalam fasa satu serta Fasa 1B (Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) yang bernilai keseluruhan RM1.7 bilion dalam fasa kedua.

Mengenai cadangan pembinaan lebuh raya dari Kedah ke Perak tanpa melalui Pulau Pinang, beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan di bawah Lebuhraya Koridor Utara Fasa 2 yang menghubungkan Changkat Jering dan Bandar Baharu.

Sumber: Berita Harian