Lesen Khas Buat Pengusaha Bengkel Dan Pusat Servis Akan Diperkenalkan

TERKINI
January 24, 2018 - 10:19 AM


Pengendali dan pengusaha perniagaan berasaskan penyelengaraan dan pembaikan kenderaan motor akan diwajibkan memeliki lesen khas untuk meneruskan perniagaan mereka.

Apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor dibentangkan pada Mac nanti di Dewan Rakyat, semua pengusaha akan diwajibkan memiliki lesen berkenaan.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, undang-undang berkenaan adalah bertujuan bagi memberikan keselesaan dan menjaga kepentingan pengguna.

Penguatkuasaannya nanti diyakini boleh memastikan industi ini berkembang maju selari dengan pembangunan teknologi dan secara tidak langsung bagi menjaga hak dan kepentingan pengguna.

Tambah beliau, KPDNKK akan mengeluarkan lesen khas ini kepada pemilik atau pengendali pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor. Malah, lesen ini hanya akan dikeluarkan sekiranya syarat-syarat kelayakan ditepati termasuklah memiliki mekanik bertauliah.

Lesen khas ini akan diwajibkan selain daripada lesen perniagaan yang sedia ada dan ianya akan dikeluarkan mengikut kepakaran tertentu dan bengkel yang memberikan perkhidmatan tanpa lesen yang sah adalah menjadi kesalahan.

RUU Perkhidmatan Penyelengaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor ini dibuat berikutan aduan pengguna yang sering diterima KPDNKK berhubung perkhidmatan pusat servis kenderaan dan bengkel. Undang-undang ini juga bakal menentukan pusat servis dan bengkel hanya beroperasi mengikut kepakaran dan kategori tertentu.

Pada peringkat awal, kategori yang disebut adalah pembaikan enjin, perkhidmatan penyelerengaraan dan juga aksesori dan tayar. Sekiranya diluluskan di Parlimen, pemilik atau pengendali bengkel ini akan dipanggil supaya jelas mengenainya.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 30,000 pengusaha bengkel dan penguatkuasaan undang-undang ini dijangka dapat meningkatkan taraf profesionalisme kerjaya mekanik standing dengan pekerjaan bidang lain.

 

Sumber : BH Online