McDonald’s Malaysia Nafi Ada Kaitan Dengan Pemberian Makanan Percuma Kepada Tentera & Rakyat Israel

TERKINI
October 16, 2023 - 02:03 PM


McDonald’s Israel mengumumkan bahawa restoran makanan segera itu mengedarkan bekalan makanan secara percuma kepada tentera serta rakyat Israel susulan serangan dari kumpulan Hamas.

Susulan tindakan tersebut nampaknya telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan masayarakat.

Ramai rakyat Malaysia yang turut mempersoalkan sama ada McDonald’s di Malaysia memihak kepada Israel sehingga timbul usaha untuk memboikot restoran makanan segera ini.

Menerusi laman Instagram mereka (@mcdonaldsmalaysia) tampil memberi penjelasan berhubung perkara yang menjadi kegusaran masyarakat.

McDonald’s Malaysia dalam kenyataannya menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh McDonald’s Israel adalah keputusan bersendirian dan tidak mencerminkan amalan dan nilai McDonald’s Malaysia.

Malah, perbuatan McDonald’s Israel itu juga tidak melambangkan keputusan global.

Keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat, atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global. Tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah contoh kepada tindakan individu yang dimaksudkan, ia bukan keputusan global dan tidak diluluskan oleh mana-mana pengendali tempatan lain. -McDonald’s Malaysia.

McDonald’s Malaysia yang dimiliki oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd adalah sebuah syarikat operasi tempatan yang diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd di bawah syarikat Reza Group dari Arab Saudi pada tahun 2017 dan telah menjadi entiti 100% milik orang Islam.

Dalam pada itu, McDonalds di negara-negara Islam termasuklah Qatar, Turkiye, Oman dan Arab Saudi turut mengeluarkan kenyataan dengan tidak memihak kepada Israel.

Malah, mereka juga telah menyumbang dana kepada rakyat Palestin seperti jumlah berikut:

  • McDonald’s Turkiye: $1,000,000
  • McDonald’s Arab Saudi: $530,000
  • McDonald’s Oman: $100,000
  • McDonald’s Qatar: $270,000