Melancong Keliling Kuala Lumpur Dengan Pas Istimewa ‘MyCity’

TERKINI
April 23, 2019 - 12:59 PM


Wah, siapa sangka ramai sebenarnya pelancong antarabangsa serta pengunjung dari luar Kuala Lumpur dan Selangor yang suka berjalan-jalan untuk melihat keindahan panorama ibu negara menggunakan pengangkutan awam.

Disebabkan perkembangan positif itu, Prasarana Malaysia Berhad kini memperkenalkan pas istimewa MyCity ‘sehari’ dan ‘tiga hari’ untuk perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail & Bas Rapid Transit (BRT) - Sunway Line.

Bagi pas kegunaan sehari dijual pada harga RM15, manakala pas tiga hari pada harga RM45.

Pas MyCity sehari dan tiga hari ini boleh dibeli di semua stesen LRT, MRT, Monorail dan BRT.

Bagaimanapun, ketika ini pakej berkenaan tidak meliputi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas pengantara MRT.

Malah, para pelanggan juga perlu memastikan kad-kad perjalanan tanpa tunai berkenaan mempunyai baki nilai minimum RM5 bagi melancarkan pergerakan di pintu tiket.

Kalau korang nak tahu, pas istimewa itu diperkenalkan pihak Prasarana sebagai memberi respons kepada permintaan daripada para pelanggan terutama dari kalangan pelancong antarabangsa serta pelanggan luar Kuala Lumpur dan Selangor yang suka nak berjalan-jalan di sekitar ibu kota tanpa had serta dalam tempoh masa yang singkat.

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada sumbangan Prasarana kepada industri pelancongan Malaysia.