Monsun Timur Laut Dijangka Bermula November Hingga Mac 2024 - MET Malaysia

TERKINI
October 10, 2023 - 05:33 PM


Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November ini dan berakhir pada Mac tahun depan, selain kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El-Nino yang dijangka berlarutan sehingga Mac 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena El Nino mampu menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berpanjangan seterusnya mencetus gelombang haba.

Menurutnya, ia juga boleh mengurangkan jumlah hujan sekali gus menyebabkan kebakaran hutan berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

4 - 6 EPISOD HUJAN LEBAT YANG AKIBATKAN BANJIR

"Dalam tempoh MTL kali ini, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dan boleh mengakibatkan banjir iaitu dari November ini hingga Februari tahun depan.

"Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berlaku antara November hingga Disember 2023, manakala mulai Disember ini hingga Januari tahun depan, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Malaysian Meteorological Department, hari ini.

Katanya, selain itu hujan berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

"Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2023/2024 kecuali di beberapa kawasan di Sabah dan utara Semenanjung serta kawasan pedalaman yang turut dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata pada penghujung MTL," katanya.

Penganjuran forum ini menunjukkan kerajaan kekal komited dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam terutamanya semasa MTL dan juga kesan fenomena El Nino terhadap cuaca di negara ini demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, METMalaysia menganjurkan Forum Iklim Kebangsaan 2023 yang bertemakan Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut secara maya, hari ini yang dirasmikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, forum itu bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai cuaca dan iklim di kalangan pihak pengurusan bencana, media dan orang awam terutamanya semasa MTL.

"Dalam ucapan perasmiannya beliau berkata tema itu dipilih susulan keadaan El Nino yang sedang melanda dunia dan dijangka meningkat intensitinya bermula penghujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

"Ditambah dengan faktor pemanasan global yang sedang dihadapi dunia sejak akhir-akhir ini, kesan fenomena El Nino dijangka akan menjadi lebih ekstrem berbanding episod-episod terdahulu dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara," katanya.

Muhammad Helmi berkata, selain itu, beliau turut menyeru supaya agensi yang terbabit dalam pengurusan kebakaran hutan dan tanah gambut memanfaatkan sistem Fire Danger Rating System (FDRS) yang dibangunkan oleh METMalaysia.

"FDRS adalah sistem ramalan awal bagi memantau kemungkinan berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut di negara kita.

"Kini, ia ditambah baik dengan keupayaan untuk menyediakan maklumat ramalan sehingga tujuh hari ke hadapan berserta capaian kepada Web Map Service (WMS) yang membolehkan sistem ini bersifat interaktif dan mesra pengguna," katanya.

Sumber: Harian Metro

Destination: