Organisasi Malaysia Diminta Bersedia Dengan Serangan Siber – Nacsa

TERKINI
May 08, 2018 - 03:41 PM


Kesemua organisasi swasta dan juga kerajaan di negara ini dinasihatkan untuk mengetatkan serta melindungi jaringan maya untuk berdepan dengan beberapa siri serangan siber.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Malaysia (Nacsa), mereka telah mengesan beberapa cubaan serangan siber yang boleh menjejaskan sistem operasi, server dan juga perkhidmatan atas talian.

Tambah Nacsa lagi, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh mereka, terdapat peningkatan serangan siber yang berlaku terhadap beberapa organisasi kerajaan dan juga swasta sejak kebelakangan ini.

Bentuk serangan yang diterima adalah melalui e-mel (phising) dan juga Perkhidmatan Penafian yang Diagihkan (DDoS).

Kebiasaannya, serangan siber ini akan menyebabkan kebocoran maklumat, kehilangan maklumat, dan juga ganguan perkhidmatan. Pihak Nacsa menasihati kesemua pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik penjenayah-penjenayah ini disamping mempertingkatkan tahap keselamatan dan mengambil pendekatan yang sewajarnya.

Menurut Nacsa lagi, semua organisasi perlu mengemaskini setiap aset di syarikat mereka dan memastikan kesemua anti-virus dan anti-malware diaktifkan dan dikemaskini sentiasa.

Dalam masa yang sama, untuk individu, diingatkan juga supaya tidak membuka atau ‘klik’ pautan yang tidak dapat dikenalpasti atau mencurigakan. Sebagai langkah berjaga-jaga, kata laluan dan username juga boleh juga ditukar.