"Oyen Pandai Selamatkan Diri" - Oyen & Haiwan Lain Selamat Dari Banjir Kilat Zoo Negara

TERKINI
October 19, 2023 - 05:10 PM


Semalam, banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk Zoo Negara. Video rakaman yang memaparkan keadaan ketika banjir melanda Zoo Negara turut tular di platform media sosial sekaligus membuat orang ramai berasa risau akan haiwan di zoo tersebut.

Yang menjadi persoalan utama oleh orang ramai adalah keadaan kucing Oyen yang terkenal kerana mendampingi sekumpulan capybara.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata, kucing itu bijak menyelamatkan diri dengan mencari teduhan apabila air sudah naik.

“Selain Oyen, semua haiwan berada dalam keadaan selamat kecuali seekor capybara terlepas keluar. Bagaimanapun, ia sempat dimasukkan kembali ke dalam kawasannya oleh kakitangan kami.”

“Keadaan banjir kilat pada petang semalam tidaklah seteruk seperti sebelum ini dan kerja pembersihan seluruh kawasan telah dibuat malam tadi.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan telah berlaku di Zoo Negara bermula 6.30 petang sehingga pukul 11.30 malam tadi dan ia beroperasi seperti biasa bermula hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Bomba Sukarela Gombak dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana tanpa mereka, dua hari kerja pembersihan pun tidak akan siap kerana kami tiada mesin-mesin yang digunakan untuk pembersihan seperti mereka.

“Kebetulan pula sewaktu kejadian itu berlaku, kakitangan kami masih belum pulang dan merekalah yang mengawal kawasan yang terjejas,” ujarnya ketika ditanya Kosmo.

Destination: