Remi Lucidi 'Daredevil' Perancis Maut Terjatuh Dari Tingkat 68 di Hong Kong

TERKINI
July 31, 2023 - 09:48 PM


Lelaki Perancis yang terkenal dengan aktiviti memanjat bangunan pencakar langit di seluruh dunia, maut Khamis lalu selepas terjatuh dari bangunan tinggi di Hong Kong.

Insiden berlaku ketika Remi Lucidi, 30, memanjat satu daripada bangunan kediaman di kompleks Menara Tregunter dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor South China Morning Post (SCMP).

Polis sedang menyiasat sama ada Lucidi maut ketika sedang 'melakukan sukan ekstrem'.

Sumber tidak dinamakan memberitahu akhbar Hong Kong, Lucidi kali terakhir dilihat pada 7.30 malam Khamis, apabila dia mengetuk cermin unit penthouse yang terletak di tingkat 68 Menara Tregunter.

Pembantu rumah di penthouse itu menghubungi polis untuk bantuan selepas melihat seorang lelaki di cermin tingkap.

Sumber berkata, besar kemungkinan Lucidi yang mengetuk tingkat itu untuk meminta tolong selepas terperangkap di luar penthouse.

Polis Hong Kong menemui kamera lasak Lucidi yang mengandungi pelbagai video sukan ekstrem dan kad identitinya di lokasi insiden.

Hantaran Instagram terbaharunya adalah enam hari lalu yang menunjukkan pemandangan Times Square di Hong Kong.

Lucidi dikatakan mendaftar masuk Ashoka Hotel di Tsim Sha Tsui pada 17 Julai dan sepatutnya mendaftar keluar pada Ahad lalu.

Polis berkata, Lucidi tiba di Menara Tregunter kira-kira 6 petang Khamis dan memberitahu pengawal keselamatan yang dia mahu melawat rakan yang tinggal di tingkat 40.

Dia dilapor sempat naik menggunakan lif sebelum pengawal keselamatan tersedar apabila penghuni yang didakwa rakan, tidak mengenali Lucidi.

Lucidi dirakam kamera keselamatan keluar dari lif di tingkat 49 dan kemudian berada di tangga paling atas bangunan terbabit.

Kunci tingkat paling atas itu didapati terbuka, namun pengawal keselamatan gagal mengesan keberadaan Lucidi, yang kemudian ditemui maut di bawah bangunan.

Disiarkan pada: Julai 31, 2023 @ 2:53pm
AgensiRemi Lucidi