Selepas Notre Dame, Masjid Al-Aqsa Juga Dilapor Terbakar

TERKINI
April 16, 2019 - 12:11 PM


Ketika bangunan ikonik bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong ke Paris, Perancis iaitu Gereja Notre Dame terbakar awal pagi Selasa, kawasan kompleks Masjid Al-Aqsa turut dilaporkan mengalami kejadian sama.

Newsweek melaporkan, satu rakaman di media sosial menunjukkan terdapat asap serta api dari bumbung Masjid Marwani dan Kandang Kuda Nabi Sulaiman.

Agensi Berita Palestin yang memetik seorang pengawal kompleks itu berkata, api mula marak dari bilik pengawal terletak di luar bumbung masjid terbabit namun ia berjaya dipadamkan oleh anggota bomba pihak berkuasa wakaf.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Al-Aqsa dan Jabatan Wakaf Baitulmaqdis, Sheikh Azzam al-Khatib memberitahu stesen televisyen Jordan, Al Mamlaka bahawa kebakaran tercetus dari perkarangan masjid dan maklumat awal menunjukkan ia mungkin berpunca daripada perbuatan kanak-kanak yang bermain di situ.

Masjid Marwani terletak di bahagian bawah di sudut tenggara antara Al Haram Al Sharif yang turut menempatkan Kubah Batu dan Masjid Al Aqsa.

Sumber: Harian Metro

Baca juga: Bangunan Bersejarah Notre Dame Di Paris Terbakar