Transaksi Elektronik Sepenuhnya Rapid KL Bermula 15 April

TERKINI
April 12, 2019 - 11:44 AM


Rangkaian perkhidmatan Rapid KL yang membawa lebih daripada 400 ribu orang setiap hari akan melaksanakan sistem pembayaran elektronik sepenuhnya pada kesemua perjalanan mereka bermula Isnin ini (15 April 2019).

Walaupun begitu, difahamkan perlaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dari Ampang pada Isnin ini sementara laluan Cheras, Sungai Besi dan Jalan Klang Lama akan menguatkuasakan sistem cashless pada 29 April.

Sementara itu, untuk laluan di Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang akan dilaksanakan pada 13 Mei 2019 dan yang terakhir di laluan Selangor – Lebuhraya Persekutuan akan menjalankan sistem ini pada 27 Mei dan ia menandakan keseluruh jaringan bas Rapid KL akan beroperasi 100% tanpa transaksi tunai.

Pengguna yang masih menggunakan tunai dinasihatkan untuk membeli kad perjalanan untuk kemudahan perjalanan mereka selain mereka akan mendapatkan penjimatan 20 sen berbanding dengan pembayaran tunai.