[VIDEO] "Orang Pertama Tulis Karangan Bahasa Malaysia Dalam Air" - Lain Macam Kelas Adik Ni, Siap Cipta Rekod!

TERKINI
October 13, 2023 - 05:07 PM


Seorang pelajar telah mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama di Malaysia yang berjaya menulis karangan di dalam air.

Mengagumkan, penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar, Kedah itu melakukan aksi mendebarkan sambil menyelam di dalam kolam sedalam lima meter.

Pelajar yang dikenali sebagai Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi itu kemudian mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaannya.

Dalam rekod yang tercipta di Pusat Akuatik Kedah, semalam -- Ahmad Fudhail menulis karangan bertajuk ‘Kepentingan Pembangunan Personaliti kepada Graduan’.

Hanya mengambil masa 1 jam 34 minit -- penuntut Diploma Pengurusan Pejabat itu berjaya menulis 350 patah perkataan menggunakan pen dan buku kalis air.

@kptmas_official THE FIRST UNDERWATER ESSAY WRITING IN MALAYSIA BY AN INDIVIDUAL #malaysianbookofrecord #kptmalorsetar #kptmas #kptm #NurturingExcellence ♬ original sound - KPTM ALOR SETAR_OFFICIAL

Menurutnya, inisiatif tersebut dilakukannya sebagai inovasi dalam bidang selaman, selain galakan buat golongan muda lain untuk mengejar impian, lapor Buletin TV3.

Lelaki berusia 20 tahun itu memaklumkan bahawa rekod tersebut mulanya dicadangkan untuk diciptakan di dalam air laut namun dibatalkan atas faktor keselamatan.

Tular di media sosial, video yang merakamkan aksi Fudhail di dalam kolam sedalam lima meter itu turut dimuat naik di akaun TikTok milik KPTM Alor Setar, @kptmas_official.

“Mulanya saya cadang untuk cipta rekod ini di laut tetapi disebabkan faktor keselamatan termasuk cuaca tidak menentu, maka kami ubah rancangan kepada kolam.

“Dalam tempoh 20 hingga 30 minit pertama, segalanya berjalan lancar, namun selepas itu mula rasa sejuk, ketika itu di perenggan ketiga karangan.

“Saya juga berdepan kesukaran menulis dalam keadaan badan beralun, namun Alhamdulillah dapat juga selesaikan cabaran ini dan menunaikan janji kepada pihak kolej bagi memastikan sijil MBOR diperoleh,” katanya.

Jelasnya, anugerah MBOR yang diterima itu adalah permulaan dalam mencapai pengiktirafan lebih besar di peringkat dunia seperti menyelam tiga hari berturut-turut.

Sumber: Malaysia Dateline

 

Destination: