Berkonsep Rekaan Futuristik, Masjid Daing Abdul Rahman Bakal Jadi Ikon Pelancongan Johor!

March 18, 2019 - 01:10 PM


Malaysia sememangnya terkenal dengan pembinaan masjid cantik dan mempesonakan serta menjadi salah satu produk pelancongan ‘niche’ yang mendapat sambutan menggalakkan daripada negara bukan Islam seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Kini masjid juga bukan sahaja menjadi rumah ibadah, malah turut berfungsi sebagai medium sosial yang mewujudkan interaksi antara pelancong dan penduduk tempatan mengenai gambaran positif berkenaan Islam dan Malaysia.

Di Johor Bahru, terdapat sebuah masjid baru yang mempunyai seni bina dan reka bentuk unik bertemakan “industrial & eco-friendly” iaitu Masjid Daing Abdul Rahman yang terletak di Taman Nusa Idaman, Iskandar Puteri.

 

Melalui perkongsian oleh seorang pengguna Twitter, Ezad Hafizy, Masjid Daing Abdul Rahman yang dibina hampir 2 tahun ini sudah dibuka untuk para jemaah.

Masjid ini berkeluasan 3 ekar dan tanahnya diwakafkan oleh UEM Land Berhad.

 

Kos pembinaan masjid dikatakan berjumlah RM3.89 juta dan RM1 juta daripada adalah hasil daripada derma orang ramai manakala bakinya disumbangkan oleh seorang individu yang dirahsiakan identitinya.

Masjid ini yang dibina seakan berbentuk Kaabah di Mekah dan mempunyai rekaan dalaman yang mesra alam semulajadi, persis Masjid Al-Irsyad di Bandung, Indonesia yang telah menerima pelbagai anugerah rekaan bangunan di negara jiran tersebut.

Semoga lebih ramai jemaah bakal mengimarahkan Masjid Daing Abdul Rahman ini, sekaligus menjadi salah satu produk pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2020 dan muncul ikon pelancongan Malaysia yang baru!

 

Destination: