5 Negeri Paling Tinggi Kadar Jenayah di Malaysia

GAYA HIDUP
February 12, 2019 - 10:48 AM


Setiap orang mempunyai persepsi sendiri berkenaan kadar jenayah di negara kita, dengan stigma-stigma tertentu masih dipegang segelintir individu - mengakibatkan wujud banyak salah tanggapan berkenaan statistik jenayah disebarkan di negara kita.

Negeri-negeri pantai timur kerap dilihat sebagai 'lubuk jenayah' sementara negeri-negeri lain khasnya negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia dilabelkan selamat hanya atas hujah persepsi semata-mata.

Benarkah persepsi ini? Mari kita cuba perjelaskan dan perbetulkan stigma yang kita ada dengan fakta dan kajian yang telah pun dijalankan, agar gambaran sebenar dapat kita ketahui.

Indeks nisbah kadar jenayah negara kita

Setiap tahun, indeks nisbah kadar jenayah di negara kita akan diambil dan dilakukan kajian, bagi mendapatkan angkanya. Indeks nisbah kadar jenayah diukur dengan mengambil kira statistik kes-kes jenayah yang berlaku serta dilaporkan, dibandingkan dengan jumlah populasi penduduk setiap negeri.

Indeks nisbah kadar jenayah di negara kita mengambil kira lima kategori jenayah utama yang biasa berlaku iaitu jenayah, masalah dadah, masalah korupsi, jenayah persekitaran dan lain-lain jenis jenayah.

Angka yang dilaporkan akan menggunakan nisbah perbandingan jumlah statistik jenayah dengan jumlah populasi dinisbahkan seramai 100,000 orang - memberikan gambaran yang lebih adil berkenaan realiti sebenar kejadian jenayah di negara kita.

Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai indeks nisbah kadar jenayah untuk tahun 2017 sebanyak 309.7 untuk setiap 100 ribu orang penduduk, menurun berbanding 355.2 bagi tahun 2016. Walau bagaimanapun, enam negeri di Malaysia mencatatkan indeks jenayah lebih tinggi berbanding indeks jenayah negara secara keseluruhannya.

Negeri mana mempunyai kadar jenayah paling tinggi?

Enam negeri mencatatkan kadar jenayah lebih tinggi berbanding purata negara kita. WP Kuala Lumpur menduduki kedudukan pertama, mencatatkan kadar lebih dua kali ganda berbanding purata, dengan nisbah 716.9 berbanding 100,000 orang.

Selangor menduduki tempat kedua dengan nisbah 408.6, Negeri Sembilan ketiga 356.6, Melaka, 339.2, Pulau Pinang 318.3 dan Kedah memenuhkan senarai 6 teratas dengan nisbah 315.3.

Walaupun begitu, berita gembiranya keenam-enam negeri ini termasuklah hampir kesemua negeri yang lain kecuali sebuah negeri mencatatkan penurunan kadar jenayah.

Negeri mana paling selamat dalam Malaysia?

Bagaimanapun malangnya Sabah adalah satu-satunya negeri yang mencatatkan peningkatan indeks nisbah sepanjang tiga tahun sejak 2015 sehingga 2017, dengan angka 135.7 tahun 2015, 137.6 bagi tahun 2016 kemudian melonjak tinggi 157.7 untuk setiap 100 ribu orang bagi tahun 2017.

Terengganu menjadi negeri kedua paling selamat dalam tahun 2017 dengan nisbah jenayah 186.8, Perak 213.6, Pahang 219.0, Sarawak 230.7 dan negeri keenam paling selamat di Malaysia adalah negeri Perlis dengan kadar jenayah 239.1 berbanding dengan jumlah populasi 100,000 penduduk. Sumber dari Iluminasi