Apa Hukum Guna Agama Jadi Bahan Jenaka? Dengar Penjelasan Mufti Perlis

GAYA HIDUP
July 15, 2022 - 03:23 PM


Belum reda lagi api kemarahan rakyat Malaysia khususnya umat islam tentang isu seorang wanita yang menghina agama islam ketika satu stand-up comedy di Crackhouse Comedy Club, TTDI. Kini viral pula, pengasas kelab komedi tersebut iaitu Ryzal van Geyzel beberapa video yang menunjukkan beliau jadikan agama dan bangsa sebagai bahan lawak.

Apa sebenarnya hukum guna agama sebagai bahan jenaka? Jom kita ikut ulasan Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Hukum gurauan berlebihan terutama apabila mempermainkan agama Islam termasuk dari sudut kepercayaan, syiar dan amalan adalah haram, mendatangkan dosa serta mampu membawa ketegangan.

Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, perbuatan menghina Islam secara terbuka dalam masyarakat majoriti muslim hanya akan membawa kepada ketegangan dan mengakibatkan sesuatu yang tidak ingini berlaku.

Mohd. Asri berkata, gurauan secara umumnya adalah dibenarkan namun boleh menjadi haram sekiranya memperlekeh atau merendahkan orang lain dalam perkara atau bentuk tidak wajar.

Katanya, ia juga menjadi haram apabila mereka perkara tidak wujud yang membawa keburukan serta mendatangkan mudarat kepada pihak lain dari segi fizikal, emosi, maruah atau ketenteraman individu mahupun masyarakat.

“Selain itu, gurauan juga haram apabila ada unsur perlakuan maksiat, dosa dan kemungkaran serta bahasa dan perlakuan tidak wajar mengikut uruf. Fatwa berkenaan gurauan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis kali ke-53/2021 dan diperakukan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis pada 14 September 2021,” jelasnya.

Tambah Mohd. Asri, gurauan masa kini dalam bentuk prank, karikatur, satira, parodi, komedi dan seumpamanya dibenarkan sekiranya tidak bercanggah dengan syariat.

Destination: