Demam Mechamato, Siap Ada Yang Bersilat Lepas Keluar Panggung. 5 Fakta Menarik Kenapa Filem Animasi Tempatan Ni Tengah Trending!

GAYA HIDUP
December 12, 2022 - 11:27 AM


Beberapa hari ini ramai yang bercerita mengenai filem animasi Mechamato dan tak kurang juga banyak ibu bapa mengambil kesempatan cuti sekolah bagi membawa anak-anak mereka menonton filem berkenaan di panggung wayang.

Filem Mechamato Movie terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd. atau Monsta ini juga dilaporkan sedang mencipta fenomena tersendiri apabila meraih kutipan RM5 juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangan! Hebat, kan filem tempatan ini!

Jom kita ketahui 5 fakta menarik tentang Mechamato ini hingga menjadi kegilaan ramai.

1) BAPA KEPADA BOBOIBOY

Semasa konsep Mechamato diperkenalkan, ramai yang tidak menyangka bahawa Amato akan mempunyai kaitan dengan BoBoiBoy. Segalanya telah didedahkan apabila BoBoiBoy Movie 2 memperkenalkan Amato sebagai bapa BoBoiBoy secara rasmi.

2) BANDAR HILIR, MELAKA 

Kota hilir dalam siri ini diinspirasikan daripada negeri Melaka. Antara tempat-tempat ikonik yang boleh dilihat dalam Kota Hilir ialah A Famosa, Jonker Street dan Sungai Melaka. Lebih menarik sekali, Kota Hilir mempunyai bangunan Destar Corp yang menggunakan reka bentuk tengkolok yang juga dikenali sebagai Dendam Tak Sudah.

3) AMATO PANDAI BERSILAT

Walaupun boleh menggunakan kuasa daripada MechaBot, Amato juga mempunyai kebolehannya yang tersendiri iaitu bersilat. Seperti yang dilihat dalam teaser filem, kita boleh lihat Amato berlatih silat untuk mempertahankan dirinya. Kebolehan silatnya itu juga telah ditunjukkan dalam siri.

4) REVOLUSI REKABENTUK AMATO 

Kalau anda ingin tahu, reka bentuk Amato dan MechaBot yang sekarang sebenarnya jauh berbeza daripada konsepnya dahulu. MechaBot juga bukanlah dalam bentuk bola. Anda boleh rujuk gambar di bawah untuk melihat perbezaannya.

5) TERSEDIA DALAM PELBAGAI BAHASA

Selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, siri Mechamato juga tersedia dalam bahasa Jepun, bahasa Indonesia, Kantonis, Vietnam, Tagalog, Mandarin, Thai dan bahasa Korea. Barisan pelakon suara untuk Amato dan Mechabot bukan calang-calang orang pula. Semua bakat hebat-hebat!

Itu sahaja yang kami boleh kongsikan kepada anda hari ini. Anda yang masih belum menonton siri animasi Mechamato, ianya akan tersedia di pelbagai platform seperti Netflix, Youtube dan TV. 

 

Mechamato Movie mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 8 Disember lalu.

Filem ini berkisar remaja lelaki bernama Amato menjumpai sebuah kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.

Salah satu robot itu adalah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi.

Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan kepada robot itu, seterusnya bekerjasama mengesan dan menangkap robot jahat.

Destination: