Hebatnya Adibah Noor, Dia Sakit Tiada Siapa Yang Tahu, Saya Sakit Satu Dunia Tahu - Ustaz Kazim

GAYA HIDUP
June 21, 2022 - 06:25 PM


"DIA sakit tidak ada seorang pun yang tahu. Jika ada pun arwah minta tidak ceritakan kepada orang lain."

Demikian luahan pendakwah selebriti, Datuk Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz baru-baru ini yang tersentuh dengan ketabahan serta kesabaran Allahyarhamah Adibah Noor.

Menurutnya, arwah menanggung penyakitnya tanpa diketahui oleh ramai orang termasuklah keluarganya sendiri dan ini membuatkan dirinya berasa malu dengan kesabaran arwah selama ini.

"Kita kenal Adibah Noor seorang yang sihat selama ini. Tiba- tiba dia menjadi kurus sebelum meninggal.

"Rasa satu tamparan buat saya. Saya malu dengan Allah dan dengan arwah sebab dia sakit tidak ada seorang pun yang tahu. Jika ada pun arwah minta tidak ceritakan kepada orang lain.

"Adibah Noor dia sabar, dia senyap, dia tutup mulut, dia tak beritahu pada orang, Masya-ALLAH Subhanallah hebat.

"Berbeza dengan saya, satu dunia tahu saya sakit. Saya belum jatuh tahap orang yang sabar seperti Adibah. Dia senyap tutup mulut. Dia merahsiakan tahap kesihatannya selama ini," katanya.

Selain itu, Ustaz Kazim juga menyifatkan tindakan arwah ini boleh dijadikan pengajaran buat semua pihak untuk sentiasa sabar.

"Ini satu pengajaran buat saya supaya menjadi sabar. Sakit itu kita simpan sebagai rahsia.

"Jika arwah boleh buat begitu kenapa kita tidak," ujarnya dalam satu perkongsian di media sosial.

Sabtu lalu, Allahyarhamah Adibah Noor dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 7.30 malam di Hospital Gleaneagle akibat kanser ovari tahap empat.

Kematian itu mengejutkan ramai orang terutamanya apabila mengetahui beliau menyembunyikan penyakit kanser ovari yang dihidapinya selama ini.

Bukan sahaja merahsiakannya daripada pengetahuan media dan peminat, Allahyarhamah dilaporkan turut tidak memberitahu bapanya mengenai penyakit yang ditanggungnya itu.

Sumber: Sinar Plus