"Pakaian Bertahi Lalat?" - Ini Dia 5 Cara Untuk Hilangkan Bintik Hitam Pada Pakaian

GAYA HIDUP
November 16, 2023 - 03:58 PM


Kalau korang perasan, pakaian yang terlalu lama dalam almari mesti akan berbintik-bintik hitam atau lebih dikenali sebagai bertahi lalat. Biasanya kalau tahi lalat itu tidak hilang setelah dicuci, kita tidak akan lagi memakai pakaian tersebut. Mungkin ada yang bertindak untuk buang. Tetapi, bagi sesetengah orang, nak buang, rasa sayang pula.

Jadi, untuk golongan mak-mak atau bapak-bapak, jangan risau sebab ada 5 cara yang korang boleh guna untuk hilangkan tahi lalat pada pakaian.

 

1. Cuka

Cuka khususnya cuka putih, mempunyai beberapa kegunaan di dalam rumah. Sifat antikulatnya menjadikannya berkesan untuk hilangkan tahi lalat di pakaian.

Caranya, korang perlu tuangkan secawan cuka ke dalam besen berisi air suam. Kemudian, rendam pakaian yang mempunyai tahi lalat ke dalam larutan tersebut. Make sure kawasan pakaian yang bertahi lalat direndam sepenuhnya ya.

Biarkan pakaian berendam selama sekurang-kurangnya sejam. Ini memberikan masa yang cukup kepada cuka untuk menembusi kain dan melarutkan tahi lalat. Selepas itu, bilas larutan cuka dan basuh pakaian anda seperti biasa. Jika kotoran masih ada, anda mungkin perlu mengulangi proses tersebut.

 

2. Baking Soda

Baking soda adalah satu lagi barangan rumah yang sangat berkesan dalam menghilangkan kesan tahi lalat. Ia berfungsi dengan mengeringkan sel kulat tahi lalat, dan seterusnya membunuh kulat tersebut. Bukan itu sahaja, ia juga membantu menghilangkan bau hapak yang berlarutan.

Caranya, mula-mula korang buat pes menggunakan empat sudu baking soda dan air. Lepas itu, lumurkan pes ini terus pada bintik-bintik tahi lalat. Pastikan kawasan yang bertahi lalat dilumur sepenuhnya.

Biarkan pes berada di atas kain selama kira-kira 30 hingga 40 minit. Kemudian buangkan pes yang telah kering, dan basuh pakaian anda seperti biasa.

 

3. Larutan Lemon dan Garam

Buat yang tidak tahu, jus lemon mempunyai sifat pelunturan semula jadi, manakala garam pula bertindak sebagai pelelas ringan. Ini menjadikan gabungan kedua bahan ini sebagai agen pembersih yang berkuasa.

Untuk cara ini, mulakan dengan memerah jus daripada lemon dan campurkan dengan jumlah garam yang sama untuk menghasilkan pes yang pekat. Sapukan pes ini ke atas bintik-bintik tahi lalat dan biarkan pakaian kering di bawah sinar matahari.

Cahaya matahari akan meningkatkan kesan pelunturan jus lemon lalu membantu memudarkan kesan tahi lalat. Setelah pakaian kering, bilas larutan lemon dan garam serta basuh pakaian anda seperti biasa.

 

4. Hidrogen Peroksida atau Peluntur

Hidrogen peroksida ialah cara yang amat berkesan untuk hilangkan tahi lalat degil. Tetapi, bahan ini mempunyai kesan pelunturan menjadikannya lebih sesuai untuk pakaian putih sahaja.

Untuk menggunakan hidrogen peroksida, sapukan terus pada tahi lalat menggunakan kain atau span. Biarkan ia selama kira-kira 10 minit untuk memberikannya masa menguraikan tahi lalat tersebut. Kemudian, bilas kawasan tersebut dengan bersih untuk memastikan semua hidrogen peroksida dikeluarkan. Setelah itu, basuh pakaian seperti biasa.

 

5. Rendam dengan Produk Dobi yang Khusus

Sebenarnya kan, terdapat banyak produk dobi di pasaran yang direka khusus untuk mengatasi masalah tahi lalat dan kotoran degil lain. Produk ini selalunya mengandungi enzim aktif atau bahan lain yang berkesan memecahkan dan menghilangkan kesan tahi lalat.

Untuk menggunakannya, hanya tambahkan kuantiti produk yang disyorkan ke dalam besen air suam. Kemudian rendam pakaian anda untuk jangka masa yang dicadangkan sebelum mencucinya seperti biasa. Yang penting, ikut arahan pengilang untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Itu sahaja tips dari Min, selamat mencuba!

 

Kredit: Hello Doktor

Destination: