"Sumpahan PM Tepi Berakhir!" - Ini 10 Perkara Menarik Tentang PM10 Malaysia, Anwar Ibrahim!

GAYA HIDUP
November 24, 2022 - 03:37 PM


Setelah beberapa hari rakyat Malaysia selesai mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, persoalan siapa bakal memimpin negara akhirnya terjawab.

Pengumuman dibuat menerusi kenyataan Istana Negara selepas Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik  Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan dalam Perkara 40 (2)(A) dan Perkara 43 (2)(A) Perlembagaan Persekutuan 

Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan da Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang ini.

10 Perkara Menarik tentang Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Anwar Ibrahim

1) Latar belakang

Anwar Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947, di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, yang juga bekas Ahli Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan. Ibunya, Che Yan Abdul Hamid Hussein ialah ahli pidato Pergerakan Wanita Umno.

2) Pendidikan

Memulakan persekolahan di Bukit Mertajam Boys School, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kemudian, beliau meneruskan persekolahan menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966.

Seorang pelajar yang aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi wakil pemidato sekolahnya, selain dilantik sebagai Ketua Pengawas MCKK.Pada 1967, beliau melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu (Sastera).

3) Kisah perjuangan bakal difilemkan

Kisah perjuangan politik Anwar diterbitkan dalam bentuk filem oleh syarikat produksi Indonesia, Bianglala Entertainment.

Filem berjudul 'Anwar' itu arahan Viva Westi, pernah meraih trofi sutradara terbaik pada Festival Filem Indonesia pada 2008. Watak Anwar dalam filem itu dibawa oleh pelakon, Farid Kamil.

Selain Farid, filem Anwar menampilkan pelakon hebat seperti Acha Septriasa yang membawa watak Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

4) Bijak berpidato

Satu perkara yang mahal tentang Anwar Ibrahim adalah kebolehan beliau dalam seni orator. Hebat berpidato, lenggok bahasa yang mudah namun berseni. Satu seni yang tidak lagi/jarang ada dipelajari oleh orang Melayu zaman sekarang.

Kebolehan berbahasa, susun atur ayat (tidak kira Bahasa Melayu atau English) yang menarik, intonasi yang menarik. Beliau ada satu watak yang tenang dalam menjawab soalan, dan mengolah ayat yang boleh kawal emosi pendengar.

5) Terkenal di kalangan pemimpin dunia

Reputasi Anwar di kalangan pemimpin dunia tidak perlu disangkal lagi. Antara rakan karib beliau adalah Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie. Bekas Presiden Ketiga Indonesia. Selain itu beliau mengenali rapat Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani.

6) Hobi yang unik dan sama dengan Tun Mahathir

Anwar Ibrahim lebih gemar meluangkan masa bersama cucu-cucunya jika ada masa kelapangan. Selain dari pernah menghasilkan beberapa naskah penulisan, Anwar Ibrahim juga gemar menunggang kuda sama seperti Tun!

Setelah selama 24 tahun menunggu diberi peluang untuk memacu negara sebagai Perdana Menteri, akhirnya Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 biarpun terpaksa menempuh pelbagai dugaan termasuk dipenjara.

7) Bursa Malaysia meningkat sebaik Anwar dilantik sebagai PM

Penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI melonjak lagi 14.83 mata sebaik sahaja dibuka untuk sesi dagangan harian kedua iaitu pada jam 2.30 petang selepas berita mengenai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Secara keseluruhannya, dagangan harian hingga setakat jam 2.30 petang KLCI meningkat 3.01 peratus atau 43.40 mata kepada 1,486.79 mata berikutan jangkaan kemelut politik selepas Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir.

8) Perdana Menteri Pertama yang bakal berkhidmat tanpa ambil gaji

Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengulangi pendiriannya tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri jika PH berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

Anwar berkata, melihat kesusahan rakyat dengan harga barangan naik dan didakwa tiada tindakan berkesan daripada kerajaan, menyebabkan beliau tidak sanggup mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.

9) Mempunyai First Lady pertama dalam parlimen

Isteri kepada Anwar Ibrahim dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 undi selepas menewaskan dua pencabarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka merupakan pasangan suami isteri pertama di dalam negara, yang bakal berada di parlimen.

10) Pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik

Dato Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 1991. Pada tahun kedua Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan Malaysia 1992, beliau berjaya mengurus kewangan dan ekonomi Malaysia dengan mendapat UNTUNG ia itu ‘ Pendapatan Melebihi Perbelanjaan ‘ atau surplus budget sebagai mana yang telah dibentangkan di parlimen.

 

 

 

Destination: