Tak Selesa Dan Sukar Bernafas? Atasi Hidung Tersumbat Dengan 5 Petua
GAYA HIDUPMusim hujan ini, mesti ramai yang ada masalah selesama kan? Mana tidaknya, hidung asyik nak haachum sahaja. Lepas dah bersin tu, hidung pula tersumbat. Letih tau kalau asyik kena sedut atau hembus hingus dari hidung yang tersumbat tu.
Untuk pengetahuan, masalah hidung tersumbat terjadi gara-gara hingus yang terkumpul dan terperangkap di dalam hidung. Jangkitan seperti selesema, flu, sinusitis atau alergi merupakan antara faktor utama masalah ini berlaku. Dalam masa yang sama, ia turut menjadi tanda tubuh badan sedang melawan virus.
Untuk mereka yang ada masalah hidung tersumbat, ada petua yang boleh dicuba. Tak banyak bahan yang diperlukan, hanya perlu guna air dan minuman sahaja!
Ini dia 5 petua untuk hilangkan masalah hidung tersumbat:
1) Teh Halia
Pertama dan paling popular, anda boleh cuba minum minuman yang telah direndamkan dengan herba halia. Kenapa teh halia? sebab rempah atau herba halia ini mengandungi sifat antiradang dan antibakteria yang tinggi lantas akan membantu meredakan gejala hidung tersumbat, terutama jika ia diambil dengan lebih kerap.
Antara tip tambahan lain sebelum minum minuman ini adalah jangan lupa untuk hidu aromanya terlebih dahulu!
2) Air Nanas
Buat yang tak tahu, buah tropika dengan rasa yang sedikit manis dan masam ini popular dengan kandungan bromelain yang tinggi. Ia adalah enzim yang dipercayai mampu membantu mencegah lendir berlebihan dalam hidung.
Jadi, bagi anda yang mahu menghilangkan masalah hidung tersumbat, anda sangat digalakkan untuk mengambil nanas. Menariknya, nanas ini bukan sahaja boleh dijadikan minuman dalam bentuk jus, malah boleh juga ambil dalam bentuk buah lantas memberikan anda pilihan untuk menyembuhkan gejala hidung tersumbat.
3) Air Pudina
Kalau anda nak tahu, daun pudina memiliki sifat antioksidan dan antimikrob yang juga tinggi. Kedua-duanya ini mampu membantu anda melawan masalah hidung tersumbat selain meningkatkan sistem imun tubuh badan.
Bukan hanya itu, daun yang boleh dijadikan minuman ini juga turut memberikan kesegaran kerana mempunyai kesan mentol yang hampir serupa seperti mengambil gula-gula lozeng yang berada di pasaran untuk sakit tekak.
4) Madu
Madu asli merupakan ubat tradisional yang sedap dan sihat dalam membantu merawat masalah kesihatan termasuk hidung tersumbat. Madu merupakan makanan yang memang sarat dengan sifat antimikrob serta antiradang.
Jika anda rasa agak pelik untuk makan madu begitu sahaja, tiada masalah! Anda boleh sahaja jadikan ia sebagai sapuan pada roti atau mencampurkan ia ke dalam minuman seperti teh atau air suam.
5) Sup Ayam
Walaupun sup ayam berada dalam kategori makanan, tetapi bukankah sup juga perlu dihirup dan diminum? Hehehehe....
Mesti ramai yang tahu kan bahawa sup ayam adalah makanan yang popular untuk orang yang sakit. Nak tahu kenapa? Ini kerana sup ayam mampu menyegarkan kembali deria rasa dan tubuh badan.
Untuk merawat masalah hidung tersumbat pula, campuran rempah-ratus seperti kulit kayu manis, jintan, lada dan bahan-bahan lagi yang diperlukan untuk menghasilkan sup ayam dapat membantu mencairkan lalu menyingkirkan hingus yang tersumbat dalam hidung.
Ada banyak sebenarnya petua atau tips untuk hilangkan hidung tersumbat yang anda boleh cuba tetapi tak semua petua atau tips untuk akan menjadi. Apa yang penting, kalau anda tidak sihat dan sakit, segeralah berjumpa dengan doktor untuk dapatkan maklumat dan rawatan yang betul.
Sumber: Hello Doktor