Teringin Rasa Menu Eksotik Ulat Sagu Bila Bercuti Ke Borneo? Tapi Orang Islam Boleh Ke Makan?

GAYA HIDUP
October 24, 2023 - 10:48 AM


Jika bercuti ke sebelah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, pasti ada yang akan mencadangkan untuk korang mencuba makanan eksotik yang popular bagi masyarakat etnik di sana iaitu ulat Sagu (bahasa Melayu) atau dikenali juga dengan nama ulat Mulong (di Sarawak) dan Butod (di Sabah).

Sebenarnya jika korang nak tahu ulat Sagu / Butod / Mulong ini merupakan sejenis ulat yang boleh didapati di dalam batang pokok Rumbia yang sedang reput.

Ulat ini menjadi makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah dan sering dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti Pesta Menuai atau Pesta Makanan. Butod boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu supaya rangup dimakan.

Ulat ini dikatakan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan baik untuk kesihatan.

HUKUM MUSLIM MAKAN ULAT SAGU 

Pegang atau sentuh tak apa, jangan sesekali makan ya!

Namun menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri -- bagi yang beragama Islam, ianya haram dimakan kerana Butod merupakan salah satu spesies ulat yang dianggap jijik, sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan Mazhab Syafie.

Menerusi portalnya, Maktabah Al-Bakri bertarikh 13 Februari 2022 mengatakan -- apabila kita berpegang kepada hukum dan membuat kajian, ia telah ditetapkan sebagai jenis ulat dan dalam hukum fiqah, semua ulat tidak boleh dimakan kerana dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam.

“Malah, pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sarawak, bertarikh 20 November 2014.

“Dalam hal ini, hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya,” katanya.

MENU ULAT SAGU

Beliau berkata, ada pendapat kedua mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah -- manakala pendapat lain turut mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai.

Ulat Sagu adalah larva yang berasal daripada sejenis kumbang yang hidup di dalam batang sagu, pohon rumbia, pokok mulong atau pokok pantu yang reput.

Ulat Sagu memiliki ciri tubuh berwarna putih dan kepala berwarna coklat, manakala tubuhnya tampak gemuk. 

Jika di Sabah dan Sarawak, restoran yang biasanya menghidangkan makanan asli Borneo turut akan menawarkan menu ulat Butod hidup (raw) serta yang sudah digoreng dan dihidang sebagai sushi atau piza.

Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:
“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Destination: