"Wira Tak Didendang" - Ini Fakta Menarik Tentang SMART, Jadi Pasukan Negara Asing Pertama Bantu Mangsa Gempa Turkiye
GAYA HIDUPPasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berlepas ke Turkiye menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang tiba di negara itu.
Dengan keanggotaan seramai 70 anggota, pasukan itu akan membantu kerajaan Turkiye dalam misi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi pada Ahad lepas.
Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah itu SMART? Dan mengapa mereka menjadi antara pasukan yang mewakili Malaysia dalam misi kemanusiaan di luar negara?
Jom ketahui fakta menarik mengenai SMART ini.
1. PENUBUHAN SMART
SMART ditubuhkan pada tahun 1994 yang dianggotai tiga agensi penting negara iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).
2. LATAR BELAKANG SMART
Penubuhan pasukan penyelamat tersebut direalisaikan susulan daripada tragedi runtuhan pangsapuri Highland Towers, Ulu Kelang, Kuala Lumpur pada tahun 1993. Sehubungan itu, kerajaan berpendapat perlunya pasukan khas bagi menangani keadaan kritikal dan diklasifikasikan sebagai kemusnahan.
3. SMART DI BAWAH SIAPA?
Pasa 1 Oktober 2015, SMART diletakkan di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia dengan penambahan sebanyak 141 anggota.
4. KEPAKARAN SMART
SMART mempunyai lima kepakaran utama iaitu struktur bangunan runtuh, penyelamatan dari tempat tinggi yang menggunakan tali, ruang sempit, penyelamatan di kawasan air dan yang terakhir adalah penyelamatan di gunung atau hutan belantara.
Sehubungan itu, untuk menyertai pasukan SMART seseorang anggota itu perlu menjalani latihan dan pemilihan khas yang dijalankan oleh agensi tersebut.
Pada masa sama, mereka harus mempunyai kekuatan mental dan fizikal bagi mengharungi cabaran semasa dan selepas misi yang diberikan seperti bencana alam dan lain-lain.
5. EMPAT FUNGSI SMART
Memetik portal NADMA, SMART digariskan dengan empat fungsi utama iaitu bertindak untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di mana tugas tersebut adalah di luar kemampuan agensi penyelamat sedia ada.
Seterusnya, menghadiri operasi SAR yang rumit di mana ia memerlukan kepakaran yang tinggi serta peralatan canggih.
Dalam masa sama, SMART juga bertanggungjawab dalam tragedi bencana besar serta melibatkan ramai mangsa sama ada di dalam atau luar negara jika diperlukan.
6. OPERASI DI LUAR NEGARA
Selain Turkiye, SMART sebelum ini pernah terlibat di beberapa bencana besar yang berlaku di negara lain. Antaranya ialah misi menyelamat mangsa tanah runtuh di Leyte, Filipina pada 2006.
Pasukan yang terdiri daripada 65 anggota itu tiba di kepulauan Leyte untuk membantu operasi SAR mangsa tanah runtuh yang terkambus di kawasan penduduk itu.
Selain itu anggota pasukan SMART juga pernah diterbangkan ke Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran hutan, membantu mangsa gempa bumi dan tsunami sejak ia ditubuhkan.
Antara negara lain yang penah mendapatkan bantuan SMART ialah India, Nepal dan Pakistan.
Selain membantu negara luar, SMART juga terlibat dalam pelbagai operasi di Malaysia seperti pada kejadian Ribut Greg di Sabah (1994), runtuhan Gunung Kinabalu, Sabah selepas satu gegaran gempa bumi (2015), runtuhan tanah di Pulau Pinang (2017) dan kejadian tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor hujung tahun lalu.
Jika dilihat pada operasi yang dilakukan oleh SMART ini, mereka boleh dianggap sebagai ‘unsung heroes’ berikutan peranan besar dimainkan dalam pelbagai operasi menyelamat nyawa di dalam dan luar negara.
Sumber: Majoriti