5 Destinasi Ideal Untuk Percutian di Bulan Ramadan Untuk Anda

TRAVEL
May 14, 2019 - 12:29 PM


Bercuti di bulan puasa mungkin bukan satu pilihan bari sesetengah orang, namun bagi kaki travel, melancong di bulan Ramadan memberi cabaran dan kenikmatan yang tersendiri. Banyak destinasi yang mungkin korang boleh pilih jika teringin bercuti semasa berpuasa. Salah satu tempat yang terbaik untuk bercuti pada ketika ini adakah tempat-tempat sejarah Nabi kita terdahulu. Di samping bercuti kita juga boleh menghayati perjuangan para Rasul dahulu. 

Bagi mereka yang takut penat atau dahaga boleh juga pilih destinasi yang mempunyai cuaca yang sejuk. namun pada ketika ini kebanyakkan tempat berada dalam musim panas.

1. Istanbul, Turki

Turki merupakan sebuah negara yang unik kerana sebahagian daripadanya adalah Eropah dan sebahagian lagi pula Asia.

Selain memiliki populasi Muslim majoriti merentasi dua benua itu, Turki kaya dengan budaya, tradisi dan sejarah yang mampu memberikan pengalaman menjalani Ramadan yang lain daripada lain.

Pada Aidilfitri pula, ramai pelancong berkunjung ke Istanbul untuk melihat lebih dekat seni bina Islamik seperti bangunan ikonik Masjid Biru dan Hagia Sophia.

Jalan-jalan di bandar itu juga hidup dengan aksi persembahan jalanan yang membuatkan anda berasa seperti dalam sebuah festival.

2. Dubai, Emiriyah Arab Bersatu

Biarpun suasana siang hari di Dubai dan beberapa lokasi tumpuan pelancong sedikit lengang pada bulan Ramadan, ia masih menjadi destinasi sempurna untuk dikunjungi kerana pada sebelah malamnya, kota itu diterangi dengan cahaya lampu dan kemeriahan pasar malam.

Inilah masanya untuk anda melawat Menara Burj Khalifa memandangkan keadaan tidak sesibuk bulan lain dan anda tidak lagi perlu beratur panjang untuk memasukinya.

Tambah menarik, kerajaan tempatan menganjurkan pelbagai acara keilmuan bagi mendidik orang awam tentang kepentingan bulan yang penuh keberkatan itu.

3. Maghribi

Maghribi merupakan destinasi yang paling unik untuk dilawati di benua Afrika kerana mewah dengan warisan, tradisi, keindahan landskap yang cukup mempesonakan.

Mana tidaknya, Maghribi merupakan pertembungan antara budaya Arab-Afrika dan sejarah orang Bohemia.

Pada sebelah malamnya, kota Maghribi dimeriahkan dengan aktiviti malam terutama di jalan-jalan di Marrakesh dengan persembahan jalanan dan muzik sambil menikmati hidangan masyarakat tempatan.

Tidak sah ke Maghribi jika anda tidak mencuba pastri dan teh perisa mint sebelum pulang.

4. Kaherah, Mesir

Di Kaherah, ketibaan Ramadan disambut ibarat sebuah pesta dengan dekorasi menakjubkan, aktiviti kebudayaan dan amal ibadah.

Rumah kediaman, restoran dan jalan-jalan diterangi cahaya lampu warna-warni (Fanoos) sebagai tanda mengalu-alukan bulan yang mulia itu.

Jangan lepaskan peluang untuk menjalinkan hubungan silaturrahim dengan penduduk setempat di kafe-kafe yang dipasang dengan khemah untuk melihat budaya mereka bersantai lebih dekat sambil menikmati Taamey.

Taamey adalah kombinasi hidangan yang diperbuat daripada ful, bawang putih, bawang dan herba.

5. Kuala Lumpur, Malaysia

Berpuasa di Malaysia mungkin sedikit mencabar dalam keadaan cuaca yang panas dan lembap, tetapi semua itu tidak menghalang umat Islam untuk meredah panas terik mentari demi membeli-belah persiapan Aidilfitri.

Bukan sahaja Kuala Lumpur, malahan seluruh Malaysia menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh kegembiraan tanpa mengira agama dan bangsa.

Satu perkara yang menyatukan rakyat negara ini iaitu makanannya yang lazat dan kadang kala hanya dapat dinikmati pada bulan Ramadan.

Uniknya, bazar Ramadan dibuka setiap hari sepanjang bulan puasa bagi memudahkan umat Islam menyediakan juadah berbuka untuk diri sendiri mahupun keluarga.