Asia Tenggara Pun Ada 3 Lokasi Menarik Untuk 'SandBoarding'

TRAVEL
July 18, 2019 - 03:26 PM


Kita biasa dengar aktiviti luncur air, luncur ais dan luncur udara. Tetapi jarang kita tahu mengenai permainan luncur pasir atau ‘sandboarding’.

Sebenarnya aktiviti sandboarding ini tak kurang ekstremnya dan memang menyeronokkan bila ia mampu melonjakkan adrenalin kita di saat kita meluncur laju dari atas bukit pasir yang tinggi.

Setakat ini di negara kita, belum ada lagi lokasi sandboarding yang dikomersialkan untuk pengunjung dan pelancong dari luar.

Dune Berpasir Pantai Klebang, Melaka. (Kredit: akubiomed)

Sebaliknya, aktiviti itu hanya dilakukan secara santai dan persendirian oleh pengunjung tempatan yang berjalan-jalan di bukit berpasir Dune, Pantai Klebang, Melaka.

Berbeza jika di luar negara banyak destinasi sandboarding yang telah menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Jom tengok negara mana yang boleh korang singgah untuk cuba sendiri pengalaman sandboarding!

#1. Gumuk Pasir Parangkusumo, Yogyakarta, Indonesia

Uniknya bukit pasir di Yogyakarta ini berwarna seakan kehitaman hasil daripada lahar letusan Gunung Merapi yang dibawa oleh arus sungai.

Kelicinan pasirnya bakal menambahkan lagi keterujaan para peluncur dengan aktiviti ekstrem ini.

Apatah lagi “Gumuk Pasir” nya atau bukit pasir di situ memiliki ketinggian antara 5 hingga 15 meter!

 

#2. La Paz Sand Dunes, Filipina

Padang pasir ini terletak di Laoag, Luzon, Filipina dan kalau ke sini korang disarankan untuk mencuba 2 aktiviti yang paling best iaitu menaiki kereta pacuan 4 roda (4X4) atau buggy dan aktiviti sandboarding.

Kadar bayaran untuk melakukan pakej kedua-dua aktiviti ini adalah sekitar 2,500 Peso atau RM202 untuk 3 hingga 5 orang. Tetapi kalau nak main sandboarding sahaja cajnya hanyalah 500 Peso iaitu RM40.

Masa terbaik untuk melawat bukit pasir ini adalah pada sebelah petang bagi mengelakkan panas terik matahari, selain korang boleh bermain sandboarding sambil menikmati pemandangan indah matahari terbenam.

 

#3. Mui Ne Sand Dunes, Vietnam

Mui Ne adalah sebuah bandar resort pantai di Thuan Wilayah Binh di tenggara Vietnam. 4 jam perjalanan yang perlu diambil untuk tiba di Mui Ne dari bandar Ho Chi Minh.

Setibanya di sini korang mesti terpukau dengan keindahan padang pasirnya yang betul-betul nampak seperti padang pasir di negara-negara Arab.

Paling menarik padang pasir di Mui Ne ini ada 2 warna yang berlainan iaitu pasir oren kemerahan dan pasir putih yang dipanggil ‘Red Sand Dunes dan White Sand Dunes’.

Selalunya orang melakukan sandboarding di Red Sand Dunes dengan sewaan papan luncur seakan kadbod tebal dengan hanya 20,000 Dong atau RM4 sahaja! 

 

#4. Lucky Bay Kalbarri, Australia

Destinasi sandboarding yang terkenal ini terletak di dalam Taman Negara Kalbarri, di utara Perth, Australia.

Di sini aktiviti sandboarding adalah mesra keluarga kerana kanak-kanak lebih 4 tahun juga dibenarkan untuk melakukan sandboarding dengan bantuan khidmat jurulatih bertauliah.

Sebelum korang dibawa ke puncak gunung pasir setinggi 280 kaki, korang akan diberi taklimat keselamatan dan beberapa latihan sandboarding sebelum bermulanya keseronokan meluncur di atas pasir saharanya.

 

#5. Tottori Sand Dune, Jepun

Tottori Sand Dunes adalah bukit pasir terbesar yang ada di Jepun dan merupakan tarikan pelancong yang paling terkenal di Tottori.

Bukit pasir itu terletak kira-kira 16 kilometer dari pantai di sepanjang Laut Jepun dengan lebar 2 kilometer dan tinggi 50 meter.

Selain menunggang unta, kuda dan paragliding, sandboarding juga antara aktiviti wajib dicuba jika korang berkunjung ke sini.

 

#6. Dubai, UAE

Orang kata rugi kalau melancong ke Dubai tanpa merasai suasana berada di padang pasir negara Arab itu.

Apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Dubai semakin terkenal sebagai destinasi sandboarding paling best di dunia!

Di sini banyak pemandu profesional yang boleh membawa pelancong naik dan turun bukit padang pasir menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) untuk meneroka Desert Safari Dubai termasuk melakukan aktiviti sandboarding yang sangat mengujakan.

 

#7. Duna Grande, Ica, Peru

Peru dikenali dengan bukit-bukit pasir yang besar di Ica, hingga ada yang mencapai sehingga 2 kilometer.

Duna Grande di Ica adalah lembah pasir terbesar di dunia. Justeru tak hairanlah bukit pasirnya antara yang menjadi dambaan para pemain sandboarding untuk mencabar keberanian mereka di sini.

Malah, Kejohanan Copa Sandboarding Peru juga diadakan di sini setiap tahun sejak 2009.

 

#8. Cerro Negro, Nicaragua

Bagi yang rasa sandboarding tu biasa je dan tak mencabar adrenalin korang, apa kata korang cuba luncur pasir hitam dekat Cerro Negro, Nicaragua ni pula.

Sebab kalau di sini korang sebenarnya sedang ber-sandboarding di atas gunung berapi aktif yang baru muncul pada April 1850 dan yang termuda di kawasan Amerika Tengah.

Cabaran meluncur di lereng-lereng bukit pasir berwarna hitam ini sememangnya bakal memberi pengalaman yang luar biasa dan paling diingati dalam hidup korang!