Bongkahan Batu Unik Seakan Ombak Tarik Pelancong Luar Negara

TRAVEL
May 06, 2019 - 10:13 AM


Siapa yang kaki hiking, mungkin Bukit Baginda di Kuala Pilah patut menjadi salah satu lokasi wajib untuk korang.

Ini kerana di puncak bukit tersebut, terdapat sebiji batu besar berbentuk bulat selebar 40 meter dan tinggi 20 meter yang dikenali sebagai ‘Wave Rock’ kerana teksturnya yang kelihatan seperti alunan ombak.

Kredit: kosmohikers

Bongkahan batu unik ini mula terkenal sejak Oktober 2018 apabila ia menjadi viral di media sosial dan telah menerima kunjungan seramai 1,000 pengunjung sehingga kini.

Menurut seorang anak jati kampung Bukit Baginda, Ramlan Ruspan, mana-mana pendaki yang ingin melihat keunikan Wave Rock perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang baik.

Kredit: Gramha

Wave Rock ini katanya belum pernah lagi ditemui di mana-mana kawasan hutan lain di Negeri Sembilan dan ia menjadi tumpuan para pendaki luar memandangkan batu tersebut yang agak pelik kerana memiliki jalur ombak yang senget sehingga berjaya menarik minat pelancong dari Perancis, Jepun, United Kingdom, Vietnam dan Filipina.

Malah, mereka juga kagum dan teruja dengan keindahan hutan Bukit Baginda dan juga Wave Rock.

Selain Wave Rock, Bukit Baginda juga memiliki empat buah gua yang masih belum diterokai mana-mana pihak setakat ini.

Kredit: Deskgram

Bagi korang yang berminat untuk mendaki dan melihat sendiri Wave Rock akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM11 iaitu RM5 daripadanya adalah permit hutan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Permit wajib dibayar pada Sabtu dan Ahad kepada pegawai perhutanan yang berada di situ manakala Isnin hingga Jumaat, bayaran permit boleh dibayar di Pejabat Hutan Kuala Pilah.

Bayaran RM6 untuk masuk ke Bukit Baginda dikutip oleh Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Kredit: Putree

Selain Wave Rock, Kuala Pilah juga terkenal dengan 70 tapak batu megalit atau lebih dikenali sebagai 'Batu Hidup' daripada 300 tapak batu megalit di Negeri Sembilan.

Sumber: BERNAMA