Chalet Cantik Dengan View Sungai Ni, Rupanya Idea Kreatif Orang Asli!

JALAN-JALAN
August 13, 2019 - 01:05 PM


Bosan asyik menginap di hotel mewah, Airbnb, resort atau villa setiap kali pergi bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan?

Apa kata korang cuba menginap di chalet perkampungan Orang Asli di tepi sungai dan dikelilingi alam semulajadi yang cukup mendamaikan serta pasti memberi pengalaman berbeza kepada percutian korang kali ni!

Lokasinya pun tak jauh iaitu di Chalet Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Tempoh perjalanan ke chalet ini dari Kuala Lumpur adalah kira-kira 4 jam 30 minit atau dari pekan Sungai Siput mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja.

Korang tak perlu risau nak kena naik kenderaan pacuan empat roda untuk ke sini, sebab sejak Februari tahun lepas, jalan ke chalet ini telah dinaik taraf kepada jalan bertar. 

Desiran air Sungai Pelus yang mengalir sebaik memasuki pintu gerbang chalet cukup mendamaikan ditambah dengan pemandangan sekitar yang menyejukkan mata dengan pelbagai pokok buah-buahan di sekelilingnya.

Kawasan sekitar chalet juga amat bersih sehingga tidak ada sampah yang kelihatan.

Menampilkan ciri ringkas masyarakat Orang Asli Temiar, chalet yang dibina diperbuat daripada buluh, pokok bertam dan juga rotan. Semua bahan tersebut diambil daripada hasil hutan di kawasan sekitar kampung.

Bermula hanya dengan dua buah chalet yang siap pada bulan April 2018, kini Chalet Bersah mempunyai 14 buah chalet yang diusahakan secara gotong royong melibatkan 30 orang penduduk tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.

Kemudahan asas lain yang disediakan di sini antaranya tandas sebanyak empat buah, ruang memasak dan pondok ruang makan terbuka di tepi sungai.

Semua chalet mempunyai bekalan eletrik, sementara bekalan air diperolehi dari Sungai Pelus.

Pengunjung juga boleh berkhemah di kawasan sekitar chalet tetapi perlu membawa kelengkapan sendiri.

Bagi mempelbagaikan aktiviti pengunjung yang datang, mereka turut menyediakan aktiviti seperti menyumpit, belajar memasak di dalam buluh dan juga tarian sewang.

Chalet ini hanya dibuka pada hujung minggu iaitu setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kecuali cuti persekolahan dan cuti perayaan yang dibuka sepanjang hari.

Mereka yang ingin menginap di chalet ini perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya 3 bulan lebih awal.

Kadar sewa chalet pula sangat murah dan berpatutan iaitu antara RM60 hingga RM80 semalam.

Kalau korang berminat nak menginap dalam suasana perkampungan ala-ala Orang Asli, boleh hubungi Pengurusnya iaitu Saidin di talian 019-411 7281.

Sejak beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2018 sehingga kini tidak kurang 2,000 pengunjung telah menginap di sini! Ramai, kan!

Dengarnya tahun ini, 16 buah chalet akan ditambah untuk menjadikan keseluruhan 30 buah chalet demi memenuhi permintaan pengunjung yang semakin meningkat.

Kredit Gambar: Jomkitamy

 

 

;